Salah sebut nama Agong, MP Padang serai mohon maaf di Dewan Rakyat

Datuk Azman NasrudinĀ (PN-Padang Serai) hari ini membuat permohonan maaf secara terbuka di Dewan Rakyat selepas secara salah menyebut nama Tuanku Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar.

Beliau ketika sesi perbahasan semalam, menyebut nama Tuanku Agong sebagai “Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Iskandar Ibni Sultan Ibrahim”.

Perkara itu menjadi tular di media sosial sehingga menimbulkan kemarahan ramai.

Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul kemudian pada hari ini mengarahkan MP pembangkang itu membuat permohonan maaf terbuka kepada baginda Agong.

“Pada semalam, YB Padang Serai telah salah menyebut nama Tuanku Yang di-Pertuan Agong. Kesalahan ini amat serius YB, amat-amat serius kerana ianya diucapkan dalam Dewan.

“Saya sebagai Speaker yang bertanggungjawab tak kira sebelah kiri atau sebelah kanan, mesti bertanggungjawab atas kesalahan-kesalahan yang YB sebut.

“Untuk itu saya dengan ini memerintahkan YB bangun memohon maaf kepada Yang di-Pertuan Agong,” arahnya.

Azman kemudian bangun dan membuat permohonan maaf sambil berikrar kekhilafan seperti itu tidak akan berulang lagi.

“Terlebih dahulu saya ingin memohon keampunan dan kemaafan kepada Yang di-Pertuan Agong atas kekhilafan dan kesilapan saya semasa saya menyampaikan ucapan petang semalam kerana telah menyebut Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Iskandar Ibni Sultan Ibrahim.

“Sepatutnya Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar.

“Saya berikrar kekhilafan seperti ini tidak akan berulang lagi di masa hadapan. Ampun tuanku,” ucapnya.

Sementara itu Johari mengingatkan ahli-ahli Dewan supaya berhati-hati menuturkan kata lebih-lebih lagi ketika ia melibatkan dengan nama Tuanku Agong.

BACA JUGA Ramai puas hati tengok Syahredzan sekolahkan MP Pas di Parlimen