Sultan Sharafuddin dukacita, Hadi tak beradab

Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah dukacita dengan kenyataan Presiden Pas dalam artikel “Ketinggian Islam Wajib Dipertahankan” yang ditulis olehTan Sri Abdul Hadi Awang pada 20 Februari itu.

“Kenapa sekarang beliau mempertikaikan kedudukan Perlembagaan Persekutuan sebagai undang-undang utama negara sedangkan agama Islam telah ditetapkan sebagai agama persekutuan semenjak perlembagaan digubal pada tahun 1957 lagi?” kata baginda dalam kenyataannya hari ini.

Baginda turut menasihatkan Hadi supaya beliau lebih berhati-hati di masa hadapan agar tidak mengulangi perbuatan menghina Raja-Raja Melayu melalui kenyataan-kenyataan beliau yang boleh memecah-belahkan umat Islam di negara ini.

Baginda juga menitahkan agar ahli-ahli politik dan pemimpin politik tidak memperalatkan agama Islam dan mencemari kesucian agama Islam demi kepentingan politik kepartian masing-masing.

Perkara ini disiarkan menerusi laman Facebook Selangor Royal Office.

Surat bertarikh 27 Februari yang menzahirkan dukacita baginda kepada pesuruhjaya Pas Selangor Datuk Halim Tamuri turut diterbitkan. Surat tersebut ditulis oleh setiausaha sulit sultan, Datuk Haji Munir Bani.

“Kenyataan sinis Hadi yang secara tidak langsung mengaitkan ucapan baginda dengan sikap Raja-raja yang perlu berwawasan kepada kehidupan akhirat dan tidak mengejar kepentingan dunia semata-mata adalah satu kenyataan yang amat tidak bersesuaian serta tidak beradab dari sudut budaya orang Melayu yang sentiasa menghormati dan memelihara adab ketika menyuarakan pandangan dan nasihat kepada Raja-Raja Melayu.

“Kenyataan Hadi bukan sahaja mengelirukan malah boleh membawa kegelisahan yang akhirnya boleh menjurus kepada perpecahan kepada perpaduan umat Islam khususnya di kalangan orang Melayu negara ini.”

Artikel Hadi ditulis ekoran keputusan Mahkamah Persekutuan membatalkan 16 kesalahan dalam enakmen jenayah syariah Kelantan.