Dah selesai kes kenderaan rasmi menteri ekori rapat ambulans

Kes membabitkan kenderaan rasmi menteri yang mengekori rapat sebuah ambulans di Lebuh Raya Utara-Selatan (PLUS) antara Simpang Pulai menghala ke Tapah, awal bulan lalu sudah selesai.

Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata, tindakan mahkamah sudah diambil dan pihak berkaitan juga dikenakan kompaun.

“Mahkamah sudah mengambil tindakan kepada kes berkenaan, ia sudah selesai.

“Mereka memberi kerjasama yang baik kepada semua,” lapor Bernama selepas menghadiri Perhimpunan Bulanan Ketua Polis Perak, di sini, hari ini.

Tular di media sosial pada 3 Februari lalu, sebuah kenderaan rasmi menteri mengekori rapat ambulans yang ketika itu dalam perjalanan menuju ke lokasi kemalangan di Lebuh Raya Utara-Selatan antara Simpang Pulai menghala ke Tapah, Perak.

Kes itu disiasat mengikut Peraturan 9 (2) Kaedah-Kaedah Lalu Lintas Jalan 1959 yang menetapkan bahawa pemandu harus memberi laluan kepada kenderaan kecemasan dengan lampu siren menyala.

BACA JUGA Khalid Samad teraju AMANAH Wilayah Persekutuan hingga 2026