Tidak terkesan dengan kenaikan caj, 8 juta pengguna air dikecuali SST

Lapan juta pengguna perkhidmatan bekalan air menikmati pengecualian kenaikan caj cukai jualan dan perkhidmatan (SST) yang berkuat kuasa hari ini.

Mereka terdiri daripada 87 peratus akaun rumah dan 13 peratus bukan domestik di Semenanjung serta Wilayah Persekutuan Labuan.

Seramai 4.7 juta lagi pengguna perkhidmatan pembetungan di seluruh Semenanjung dan Wilayah Persekutuan Labuan juga tidak terkesan dengan kenaikan caj itu, menurut kenyataan Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air.

“Kerajaan akan terus komited dan prihatin bagi memastikan keperluan asas rakyat diutamakan.

“Kementerian juga ingin mengingatkan orang awam untuk menggunakan air secara berhemat terutama ketika negara sedang berhadapan dengan musim panas dan kering di kebanyakan negeri,” menurut kenyataan itu lagi.

Mulai hari ini, kadar baharu SST naik kepada lapan peratus seperti diumum dalam Pembentangan Belanjawan 2024 Oktober tahun lalu.

Kenaikan daripada enam peratus itu sebahagian daripada usaha kerajaan untuk meningkatkan daya tahan kewangan negara sambil mengurangkan defisit belanjawan.