KEB 2024: Lebih 80 resolusi pemerkasaan Bumiputera diperoleh

Lebih 80 resolusi digariskan sebagai agenda pemerkasaan Bumiputera dalam Kongres Ekonomi Bumiputera (KEB) 2024 yang berakhir hari ini.

Resolusi itu diperoleh daripada hasil libat urus melibatkan 10 kluster merangkumi pelbagai aspek yang dibentangkan sepanjang tiga hari berlangsungnya kongres berkenaan.

Antara resolusi yang diangkat ialah berkaitan kluster Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), iaitu menetapkan satu badan atau organisasi untuk menjalankan tadbir urus institut Tahfiz TVET dan memperkukuh jalinan kerjasama program Tahfiz TVET dengan Majlis Agama Islam Negeri (MAIN).

Turut dicapai berkaitan kluster Reformasi Pendidikan dan Modal Insan.

Resolusi antara lain menggariskan tentang pengukuhan sistem pendidikan Islam, memperkukuh pendidikan awal kanak-kanak dan menangani krisis Sains, Matematik, Kejuruteraan dan Teknologi (STEM).

Sementara itu, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata perkara paling penting adalah bagaimana perincian berkenaan resolusi diteliti untuk diabsah dan dilaksanakan.

“Setiap kluster purata (resolusi) ada lapan, ada juga yang lebih, maknanya daripada 10 kluster, (ada) lebih 80 resolusi, namun kita merasakan yang penting bagaimana resolusi ini dapat dilaksanakan.

“Pada hemat saya, dua kementerian iaitu Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) serta Kementerian Ekonomi, di mana sekretariatnya adalah Majlis Amanah Rakyat (MARA) sendiri sebagai agensi yang melaksanakan,” lapor media.

KEB 2024 turut menumpukan kepada Bumiputera di Sabah dan Sarawak, serta masyarakat Orang Asli, industri halal, penguasaan teknologi baru dan bernilai tinggi.

Hasil dapatan kongres itu menjadi langkah yang perlu diambil kerajaan walaupun jalannya panjang, sukar serta berliku dalam menangani segala permasalahan Bumiputera.

BACA JUGA Rafizi gesa kelas pertengahan Bumiputera ubah jadi pencipta nilai