MP Bersatu jangan takut pindaan, terus sokong PMX, kata MP Bukit Gantang
Ahli Parlimen Bukit Gantang, Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal meminta supaya wakil rakyat Bersatu yang mahu menyokong Kerajaan MADANI supaya tidak takut untuk berbuat demikian.
“Saya menyeru mana-mana Ahli Parlimen untuk tidak takut dengan pindaan berkenaan… kalau ada niat nak sokong PM, teruskan.
“Kerana semua peraturan ini boleh dicabar di mahkamah dan belum tentu pindaan ini akan diluluskan oleh Pendaftaran Pertubuhan (RoS) atau mahkamah,” katanya, dipetik BH.
Reaksi Syed Abu Hussin tersebut susulan tindakan Bersatu hari ini meluluskan pindaan untuk melucutkan serta-merta keahlian wakil rakyatnya yang menyatakan sokongan kepada mana-mana pihak bertentangan dengan arahan atau pendirian parti pembangkang itu.
Bersatu meluluskan Perkara 10 perlembagaan parti itu selepas mendapat sokongan 1,956 perwakilan parti tersebut yang hadir pada Perhimpunan Agung Khas di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC) Selayang, hari ini.
Pindaan perlembagaan itu dibuat susulan tindakan enam Ahli Parlimen Bersatu yang sebelum ini menyatakan sokongan kepada Perdana Menteri.
Mengulas lanjut, Syed Abu Hussin berkata, enam wakil rakyat terbabit bertegas untuk tidak mengosongkan mana-mana kerusi sehingga mahkamah memutuskan untuk berbuat demikian.
Tegasnya, tindakan Bersatu meluluskan pindaan untuk melucutkan serta-merta keahlian wakil rakyatnya yang menyatakan sokongan kepada mana-mana pihak bertentangan dengan arahan atau pendirian parti adalah satu perkara yang sia-sia.
Dalam masa sama, beliau mempersoalkan sebab parti mahu membuat undang-undang itu sedangkan Ahli Parlimen yang menyatakan sokongan kepada Perdana Menteri dibuat demi masa depan kawasan dan pengundi mereka.
“Kalau Ahli Parlimen tidak berpuas hati (dengan parti), maka mereka boleh menyokong mana-mana (kerajaan) demi masa depan dan kawasan masing-masing.
“Kalau Perikatan Nasional (PN) dan BERSATU tidak mahu berunding dengan kerajaan untuk dapatkan kemudahan bantu rakyat serta memberi sokongan untuk stabilkan politik, bagi saya ia satu kerja yang sia-sia untuk bendung seseorang Ahli Parlimen sebagai seorang pemimpin.
“Di pihak saya dan rakan-rakan, perkara ini sudah pun berlaku…. tetapi kami tetap akan beri sokongan kepada Perdana Menteri (PM) dan yakin bahawa PM ada dasar jelas dan usaha nak bantu rakyat khususnya mengenai kos sara hidup supaya rakyat mendapat barang keperluan dengan harga yang murah.
“Bagi kami, akan tetap bertegas dan tidak akan kosongkan mana-mana kerusi sehingga (mahkamah) memutuskan,” katanya, dipetik BH.
Selain Syed Abu Hussin yang menyatakan sokongan kepada Perdana Menteri, MP lain ialah Zahari Kechik (Jeli); Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang); Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar), Datuk Suhaili Abdul Rahman (Labuan) dan Datuk Dr Zulkafperi Hanafi (Tanjong Karang).
BACA JUGA Kasihan Bersatu… Ramai ahli Parlimennya dah isytihar sokong PMX
Â