Pas Selangor diminta jawab isu surat Sultan kepada Hadi

Pesuruhjaya Pas Selangor, Datuk Dr Ab Halim Tamuri diminta menjawab isu berhubung surat daripada Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah kepada presiden parti itu, Tan Sri Abdul Hadi Awang.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Serdang, Abbas Salimmi Che Adzmi mencelah menyambut perkara dibangkitkan ADUN Batu Tiga, Danial Al Rashid Haron Aminar Rashid ketika sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor, Khamis lalu.

Abbas ketika mencelah meminta Dr Halim memberi penjelasan berhubung surat Sultan Selangor kepada Abdul Hadi.

”Kalau kita lihat daripada surat yang tular pada hari ini (Khamis) daripada istana dialamatkan kepada Pesuruhjaya Pas Negeri Selangor yang juga ADUN Paya Jaras (Dr Halim).

“Kita sering menyebut tentang kita menjunjung titah dan sayang kepada tuanku, tetapi pada hari ini apabila tuanku menitahkan sesuatu, tetapi ada pihak tertentu cuba menidakkan atau meremehkan titah baginda.

“Setuju atau pun tidak, (ADUN) Batu Tiga, kepada yang menerima surat ini memberi penjelasan segera tentang isu yang sedang tular pada hari ini (Khamis),” ujar beliau dipetik Sinar Harian.

Danial Al Rashid kemudiannya memberi ruang kepada Dr Halim untuk menjawab dan menjelaskan isu surat terbabit.

Bagaimanapun, Dr Halim hanya berterima kasih dan menyerahkan perkara itu kepada Sultan Selangor dan Abdul Hadi.

Situasi tersebut seterusnya menimbulkan kekecohan apabila beberapa ADUN kerajaan dan pembangkang bangkit menyuarakan pandangan masing-masing.

ADUN Taman Medan, Dr Afif Bahardin pula memberitahu, surat Sultan Selangor itu dihantar kepada Abdul Hadi dan ia tiada kena mengena dengan sidang DUN Selangor.

“Surat itu sudah dijawab kepada tuanku. Kenapa hendak tanya lagi? Perbahasan kita tentang titah tuanku dalam DUN Selangor,” ujar beliau.

Terdahulu, Danial Al Rashid yang juga Ketua Pemuda AMANAH Selangor berkata, dua ADUN pembangkang dari Ijok dan Paya Jaras ketika menjunjung titah Sultan Selangor tidak menyentuh langsung mengenai surat yang baharu dikeluarkan Sultan Selangor kepada Abdul Hadi pada Khamis.

“Dalam surat ini menyentuh kenyataan Abdul Hadi bukan saja mengelirukan dan boleh membawa kegelisahan yang akhirnya boleh menjurus kepada perpecahan kepada perpaduan umat Islam khususnya dalam kalangan orang Melayu,” katanya ketika usul menjunjung titah Sultan Selangor pada sidang DUN Selangor, Khamis lalu.

Danial Al Rashid kemudiannya memberitahu, perkara berkenaan dianggap serius dan perlu diambil berat oleh semua ADUN sama ada kerajaan atau pembangkang.

BACA JUGA Wakil rakyat Pas bersumpah pertahan Perlembagaan atau hanya sumpah palsu?