Bersatu, demi kepentingan siapa?

Semalam Bersatu meluluskan pindaan perlembagaan parti mereka yang antara lain memaksa wakil rakyat mereka yang tidak meyokong pendirian parti dipecat dari kerusi yang diwakili.

Peruntukan ini akan dikuatkuasakan secara retrospektif sekiranya diluluskan oleh Pendaftar Pertubuhan (RoS).

Umum mengetahui terdapat enam ahli parlimen PN-Bersatu yang menyokong Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Mereka ialah Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (Bukit Gantang), Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang), Datuk Zulkafperi Hanapi (Tanjong Karang), Zahari Kechik (Jeli), Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar) dan Datuk Suhaili Abdul Rahman (Labuan).

Pindaan tersebut, sekiranya diluluskan oleh RoS, akan menyebabkan pilihan raya kecil diadakan di kesemua enam kawasan parlimen di atas.

Proses melangsungkan pilihan raya kecil bukan murah. Yang pasti tiada versi PRK Madani dengan harga rendah.

Pilihan raya kecil sebelum ini, di Kuala Terengganu, menyebabkan SPR berbelanja RM465,000. Secara kasar ia bernilai RM500,000 dan jumlah ini tidak meliputi kos inflasi dan percukaian yang baharu diperkenalkan.

Sekiranya enam kawasan di atas perlu menjalani pilihan raya kecil, SPR perlu memperuntukkan lebih kurang RM3 juta.

Tan Sri Mahiaddin pasti mahukan ahli parlimen baharu kerana kepentingan politik beliau dan partinya.

Persoalannya, di manakah kepentingan rakyat dalam visi politik Bersatu?

Dana sebanyak RM3 juta itu boleh diperuntukkan untuk satu atau dua kawasan parlimen.

Dana sebanyak RM3 juta boleh diperuntukkan untuk meningkatkan kesedaran politik masyarakat umum.

Apakah ini kaedah Bersatu untuk memperkukuhkan ekonomi Malaysia yang berdepan nilai ringgit yang jatuh?