Bos besar Telegram sedia bantu MCMC perkemas isu kawal selia aplikasi

Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil melakukan perjumpaan dengan pemilik Telegram, Pavel Durov dalam usaha memperkemas aspek kawal selia platform berkenaan.

Menerusi pertemuan itu Fahmi memberitahu, perbincangan utama berkait dengan usaha membanteras aktiviti scam dan judi dalam aplikasi berkenaan. 

Menurutnya, pemilik dan pengasas Telegram itu menyatakan kesediaan untuk bekerjasama dengan Kerajaan Malaysia berhubung hal itu.

“Telegram bersedia untuk bekerjasama dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) bagi memperkemas aspek kawal selia, terutama untuk banteras aktiviti scam dan judi dalam talian di platform berkenaan. 

“Kesediaan tersebut dinyatakan sendiri Pavel Durov ketika perjumpaan kami di Dubai, Emiriyah Arab Bersatu pada Sabtu,” katanya dalam satu hantaran di Facebook hari ini.

Fahmi memberitahu, perbincangan mereka semalam amat positif dan banyak fokus diberikan kepada perkara berkaitan kerangka kawal selia platform itu dan teknologi baharu (termasuk AI).

Pavel turut menyatakan minat untuk mengadakan perbincangan lanjut tentang beberapa peluang kerjasama dengan Kerajaan Malaysia, selain memberi komitmen dan bersedia untuk melebarkan sayap operasi ke Malaysia pada masa akan datang.

“Saya juga telah menjemput beliau untuk datang ke Malaysia bagi meneruskan perbincangan dengan semua pihak berkaitan,” ujarnya.

BACA JUGA Terpaksa tadah air 3 pagi, penduduk Gurun bengang “tak tahu kami hidup zaman mana”