Soal ahli parlimen melawan Agong tidak boleh timbul kerana baginda sebahagian sistem demokrasi berparlimen
Sistem raja berperlembagaan dan demokrasi berparlimen membolehkan cabang-cabang demokrasi bersekali dengan raja berperlembagaan.
Oleh itu tidak timbul isu ahli parlimen melawan titah Agong atas alasan kebebasan bersuara dan kebebasan berpolitik, kata pakar perlembagaan Institut Antarabangsa Pemikiran Islam dan Tamadun (ISTAC) dari Universiti Islam Antarabangsa, Profesor Datuk Dr Wan Ahmad Fauzi Wan Husain.
“Tidak boleh ahli parlimen menyanggah titah Yang Di Pertuan Agong secara terbuka apatah lagi secara tidak beradab kerana ia merendahkan raja berdaulat negara.
“Masalahnya kebanyakan ahli parlimen melihat perlembagaan persekutuan dari sudut pandangan Westminster.
“Di Malaysia, yang setuju dengan undang-undang atau enakmen ialah Raja atau Yang Di Pertuan Agong sebagai ‘the maker’.
“Ini bezanya dengan England yang kedaulatan rakyat utama dan mengatasi kuasa Raja atau Ratu England.
“Di negara ini kedaulatan Raja membentuk sistem demokrasi berparlimen,” kata beliau dalam satu wawancara eksklusif, Berita Harian.
Beliau mengakui bahawa Malaysia mempunyai undang-undang khusus seperti Akta Hasutan untuk melindungi kedudukan raja.
Untuk menambah baik keadaan ini beliau mencadangkan penubuhan Suruhanjaya Kedaulatan Raja-Raja dan Negara untuk tujuan pemantauan yang lebih berkesan.
“Suruhanjaya Kedaulatan Raja-Raja dan Negara perlu diwujudkan bagi memantau setiap perkara yang membabitkan kedaulatan Raja dan negara.
“Suruhanjaya boleh memantau dan merujuk perkara tersebut kepada penguatkuasa jika ada pelanggaran.
Beliau turut memberikan nasihat kepada blok pembangkang dalam konteks isu yang dibincangkan.
“Pembangkang hendaklah bersama kerajaan menegakkan kedaulatan undang-undang iaitu kedaulatan Raja sebagai pemegang amanah Allah dan keduanya prinsip keluhuran perlembagaan.
Seorang lagi tokoh akademik melihat ahli politik dalam melawan titah istana sebagai penderhaka atau ‘Jebat moden’.
“Saya menilai golongan ini penderhaka dan ‘Jebat moden’ seolah-olah berlakon menjadi wira rakyat, walaupun menentang arus budaya dan adab selama ini yang menjadi asas kehidupan,” kata pensyarah kanan Jabatan Pengajian Pentadbiran dan Politik Fakulti Ekonomi Pentadbiran Universiti Malaya Dr Mohammad Tawfik Yaakub.