Maklumat tambahan menantu Mahiaddin sudah diberi kepada Interpol

Maklumat tambahan yang diperlukan Polis Antarabangsa (Interpol) mengenai Datuk Seri Muhammad Adlan Berhan, iaitu menantu bekas Perdana Menteri, Tan Sri Mahiaddin Md Yasin sudah pun diserahkan.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain, berkata PDRM kini dalam tindakan menunggu maklum balas Interpol bagi meletakkan nama Muhammad Adlan dalam senarai notis merah.

“Maklumat tambahan berkenaan sudah diperoleh daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan dikembalikan semula kepada Interpol,” katanya menurut Berita Harian.

Razarudin mengesahkan, permohonan meletakkan nama Muhammad Adlan ke dalam senarai merah berkenaan tidak dapat dilakukan memandangkan ada lagi maklumat tambahan diperlukan Interpol.

Beliau berkata, satu maklum balas diterima PDRM daripada Interpol pada 19 Februari lalu yang menghendaki butiran lanjut mengenai Muhammad Adlan.

Pada 25 Februari lalu, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memaklumkan akan menyemak perkembangan notis merah dikeluarkan Interpol terhadap menantu Mahiaddin.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki, berkata Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah membuat permohonan notis merah kepada Interpol terhadap Adlan dan peguamnya, Mansoor Saat, 69, pada Oktober tahun lalu.

Media sebelum ini melaporkan nama peguam yang juga pengarah dan pemegang saham NERS Sdn Bhd (NERS), Mansoor Saat disenaraikan dalam notis merah pada 19 Februari lalu.

Azam berkata, tuduhan tanpa kehadiran terhadap Muhammad Adlan Berhan menjadi pilihan terakhir SPRM dalam mengambil tindakan perundangan berkait kes disiasat mereka.

Beliau berkata, SPRM belum mengambil pendekatan itu berikutan yakin Muhammad Adlan masih boleh dikesan dan balik ke Malaysia untuk menghadapi pertuduhan terbabit.

BACA JUGA Isu kenderaan baharu PM, polis buka kertas siasatan terhadap Chegubard