Najib takkan dimasukkan dalam tahanan rumah – Saifuddin

Mantan perdana menteri Datuk Seri Najib Razak yang sedang menjalani hukuman penjara tidak akan meneruskan tempoh tahanannya di bawah sistem tahanan rumah, kata Menteri Dalam Negeri Datuk Saifuddin Nasution Ismail.

Hanya banduan yang ditahan kurang daripada empat tahun, warga emas, wanita mengandung dan orang kurang upaya layak dipertimbangkan di bawah sistem ini, lapor Malaysiakini.

Media sebelum ini melaporkan bahawa Putrajaya bersetuju untuk melaksanakan sistem ini untuk mengurangkan kesesakan di penjara dan tidak boleh disalahguna oleh mereka yang didapati bersalah.

“Saya ingin menafikan naratif nakal sesetengah media yang mendakwa pelaksanaan tahanan rumah bertujuan untuk menempatkan Najib di bawah tahanan rumah. Mereka nakal sehingga tidak dapat melihat perspektif mengurangkan kesesakan di penjara.

“Pelaksanaannya khusus untuk kategori banduan tertentu. Sebuah panel akan membuat penilaian dan mencadangkan jenis kesalahan di mana tempoh hukuman penjara kurang empat tahun .

“Jika seseorang dipenjara sehingga 20 tahun, mereka tidak boleh diberikan tahanan rumah dengan mudah,” kata Saifuddin.

Baru-baru ini Lembaga Rayuan telah mengurangkan hukuman penjara Najib daripada 12 tahun penjara dan denda RM210 juta kepada 6 tahun penjara dan denda RM50 juta.