Perlembagaan persekutuan akan dipinda jika disyorkan oleh jawatankuasa khas

Perlembagaan persekutuan akan dipinda sekiranya ia adalah syor yang dikemukan oleh Jawatankuasa Khas Mengkaji Kompetensi Dewan Undangan Negeri (DUN) Untuk Menggubal Undang-undang Islam, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Senator Datuk Seri Dr Naim Mokhtar.

“Sekiranya kajian jawatankuasa khas membawa kepada pindaan perlembagaan persekutuan, ia akan dibawa ke Majlis Raja-Raja dan sudah tertu akan dipertimbangkan. Kerajaan komited dalam memperkasa mahkamah syariah,” kata Naim ketika menjawab soalan tambahan Sany Hamzan (PH-Hulu Langat) di Dewan Rakyat.

Terdahulu dalam soalan asal, Naim berkata bahawa ahli legislatif termasuk ahli parlimen akan turut diambil kira sebelum syor menyeluruh dikemukakan oleh jawatankuasa tersebut.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Datuk Ahmad Saad (PN-Pokok Sena).

Jawatankuasa Khas Mengkaji Kompetensi Dewan Undangan Negeri (DUN) Untuk Menggubal Undang-undang Islam telah dibentuk oleh Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) untuk mengkaji bidang kuasa DUN dalam menggubal undang-undang enakmen Islam.