Lim: Kerajaan perlu reformasi insititusi politik, ekonomi

Lim Guan Eng (PH-Bagan) menggesa kerajaan menjalankan reformasi institusi politik dan ekonomi untuk memberi keyakinan bahawa kerajaan serius terhadap produktiviti, daya saing, bakat sumber manusia dan teknologi bernilai tinggi.

Beliau telah mencadangkan Kongres Reformasi Negara dalam ucapan menjunjung titah Agong.

“Oleh itu, saya ingin mengesyorkan bahawa Kerajaan menganjurkan suatu Kongres Reformasi Negara untuk menunjukkan komitmen dan niat yang bulat melaksanakan reformasi institusi.

“Suatu Kongres Reformasi Negara yang merangkumi semua adalah perlu agar tidak ada mana-mana kumpulan masyarakat yang rasa mereka tercicir atau diabaikan.”

Beliau turut menyatakan harapannya agar kadar cukai perniagaan dan perkhidmatan diteliti semula dan diperkenalkan setelah situasi ekonomi kembali pulih hujung tahun ini.

“Kita tahu bahawa situasi ekononomi akan pulih hujung tahun ini dan ini termasuk juga nilai Ringgit yang dijangka akan pulih dalam separuh kedua tahun ini.

“Jadi, kita berharap akan ada pertimbangan dan penyemakan agar kadar cukai SST baru yang telah dinaikkan ke lapan peratus dipertimbangkan semula.”

Selain daripada SST di lapan peratus, cukai baru – cukai barangan bernilai rendah untuk jualan dalam talian sebanyak 10 peratus dan cukai digital 8 peratus dan cukai keuntungan modal sebanyak 10 peratus telah diperkenalkan.

Cukai barangan bernilai tinggi sebanyak 10 peratus akan dikuatkuasakan pada 1 Mei.