Mada: Tiada permohonan keluarkan Beras Kedah

Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (Mada) hari ini bahawa mengesahkan tiada permohonan untuk mengeluarkan Beras Kedah, kata pengerusinya Datuk Dr Ismail Salleh.

Pengesahan itu susulan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor mendakwa terdapat pihak tertentu yang cuba menghalang usaha negeri jelapang padi itu untuk mengeluarkan Beras Kedah.

“Menteri Besar (MB) Kedah sekarang sentiasa prejudis kepada kerajaan Madani, setahu saya tidak ada permohonan itu, lalu bagaimana MB menuduh ada pihak tertentu yang menyekat hasrat kerajaan negeri.

“Industri padi beras negara diikat oleh Akta 522 (Akta Kawalan Padi dan Beras 1994) termasuk keinginan kerajaan negeri untuk merealisasikan Beras Kedah.

“Kerajaan negeri perlu memohon lesen kepada pihak kawal selia yang menguatkuasakan Akta 522 untuk tujuan membuat kilang dan memproses padi untuk dijadikan beras seterusnya hasilkan beras sejahtera,” katanya dipetik BH.

Dr Ismail berkata, begitu juga kilang padi yang mengeluarkan beras kepada pemborong dan peruncit yang mana kerajaan negeri perlu mempunyai lesen pemborong dan peruncit.

”Kerajaan negeri hanya perlu mohon sahaja lesen dan ia akan dipertimbangkan oleh pihak kawal selia,” katanya.

Ismail yang juga Pengerusi AMANAH Kedah berkata, berdasarkan situasi tersebut, ia menunjukkan Muhammad Sanusi hanya ingin menutup kelemahan beliau, lalu menyalahkan pihak lain dalam isu pengeluaran Beras Kedah .

Terdahulu, Muhammad Sanusi ketika menjawab soalan di Dewan Undangan Negeri (DUN) hari ini mendakwa hasrat negeri itu untuk mengeluarkan Beras Kedah cuba dihalang pihak tertentu.