Tak babit peruntukan kerajaan, pelabuhan pintar guna AI bakal dibina
Tanpa membabitkan peruntukan kerajaan, sebuah pelabuhan pintar yang menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI) akan didirikan di Pasir Panjang, Port Dickson, Negeri Sembilan.
Pelabuhan kontena, Dickson Bay yang dianggarkan mencecah kos RM2 bilion akan dibiayai pihak swasta sepenuhnya.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, berkata pelabuhan pertama di Negeri Sembilan itu akan dibina oleh Midports Holdings Sdn Bhd yang juga anak syarikat milik penuh Tanco Holdings Berhad, dengan kerjasama Menteri Besar Negeri Sembilan Diperbadankan (MBI).
“Kawasan pembinaannya yang berhadapan dengan laut, adalah tanah milik persendirian dan tidak membabitkan tanah kerajaan.
“Mereka (syarikat swasta terbabit) hanya memohon kepada kerajaan melalui Jabatan Laut Malaysia untuk mendirikan terminal,” katanya.
Loke berkata demikian pada sidang media selepas menyaksikan majlis menandatangani perjanjian usaha sama pembangunan pelabuhan kontena pintar AI di Dickson Bay, Port Dickson, antara MBI dengan Midports Holdings Sdn Bhd semalam.
Justeru, katanya, Dickson Bay merupakan sebuah pelabuhan swasta.
“Malah, sudah ada satu kawasan di sana (Pasir Panjang) yang diwartakan sebagai Had Pelabuhan (Port Limit) oleh Kerajaan Persekutuan sejak 22 Ogos 2017,” ujarnya.
Turut hadir ialah Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun; Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mohd Zafir Ibrahim; Ketua Setiausaha Kementerian Pengangkutan, Datuk M Jana Santhiran; dan Pengarah Urusan Tanco Holdings Berhad, Datuk Seri Andrew Tan Jun Suan.
Dalam masa sama, Loke yang juga Ahli Parlimen Seremban memberitahu, projek pembinaan itu akan bermula selepas kajian teknikal dijalankan beberapa agensi berkaitan, termasuk Jabatan Laut.
“Sebelum projek ini bermula, ia memerlukan beberapa kajian teknikal oleh agensi berkaitan yang akan mengambil masa antara enam hingga 12 bulan,” katanya, dipetik BH.
Berhubung dakwaan projek tersebut boleh menyebabkan berlaku pertindihan dengan Pelabuhan Antarabangsa Kuala Linggi (KLIP) di Kuala Linggi, Melaka, yang sedang dalam pembinaan, Loke menafikan tanggapan sedemikian.
Jelasnya, konsep KLIP lebih kepada pelabuhan minyak dan gas, manakala Dickson Bay pula lebih kepada kontena.
“Kita tidak melihat projek berkenaan akan mengakibatkan pertindihan, dan dasar kerajaan sedia ada ialah menggalakkan mana-mana pihak swasta untuk membuat pelaburan.
“Di sepanjang pesisir pantai Selat Melaka sekarang pun memang ada banyak pelabuhan.
“Kita mengalu-alukan pelaburan seumpama ini kerana ia akan memperbanyakkan lagi infrastruktur di negara ini,” tambah Loke lagi.
BACA JUGA Fokus sahaja pada Kedah, bukan rancang Langkah Dubai – Anthony Loke selar Sanusi