AMK Perlis: Buru pelaku vandalisme gambar Raja Muda Perlis
Angkatan Muda Keadilan (AMK) Perlis menggesa pihak berkuasa segera mencari individu yang terlibat dalam vandalisme gambar Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail setelah warga Perlis dikejutkan dengan tindakan biadab tersebut.
Ketua Penerangan AMK negeri, Leong Chee Wei menyifatkan perbuatan tersebut jelas menunjukkan penghinaan dan derhaka terhadap institusi diraja.
Katanya, tindakan tegas perlu diambil dan tiada toleransi berkaitan hukuman yang bakal dikenakan kepada pelaku.
“AMK Perlis berpendapat imej Institusi Diraja perlu dijaga bertepatan dengan prinsip Rukun Negara yang kedua iaitu Kesetiaan kepada Raja dan Negara.
“Kami mengecam sekeras-kerasnya tindakan vandalisme biadab dan tidak menghormati Raja Muda, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Terdahulu tular papan iklan Raja Muda Perlis yang sepertinya disimbah cat merah sehingga merosakkan papan iklan tersebut.
Sehingga kini juga tidak dapat dipastikan sama ada sebarang laporan polis sudah dibuat mana-mana pihak.