Isa Samad bebas pertuduhan rasuah beli hotel di Kuching
Bekas Pengerusi FELDA, Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Rayuan hari ini atas sembilan pertuduhan rasuah berjumlah RM3 juta yang dikaitkan dengan pembelian sebuah hotel di Sarawak.
Panel tiga hakim dipengerusikan Datuk Vazeer Alam Mydin Meera berkata, Mahkamah Tinggi melakukan kekhilafan yang boleh dirayu dan memerlukan campur tangan.
Berikutan itu katanya, mahkamah membenarkan rayuan berkenaan dan membatalkan hukumannya.
Pada 2021, Hakim Nazlan Ghazali mendapati Mohd Isa bersalah atas sembilan tuduhan rasuah melibatkan RM3.09 juta pada 2021, dan menjatuhi hukuman penjara enam tahun serta denda RM15.4 juta.
Mohd Isa didakwa dengan sembilan pertuduhan secara tidak jujur menerima suapan untuk dirinya sendiri, secara tunai berjumlah RM3,090,000, daripada Ikhwan Zaidel, yang merupakan ahli lembaga pengarah Gegasan Abadi Properties Sdn Bhd, melalui seorang individu bernama Muhammad Zahid Md Arip.
Wang itu dikatakan sebagai suapan kerana membantu meluluskan pembelian hotel oleh Felda Investment Corporation Sdn Bhd (FICSB) dengan harga RM160 juta.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di Tingkat 49, Menara Felda di Persiaran KLCC antara 21 Julai 2014 hingga 11 Disember 2015.
BACA JUGA Exco Kelantan sampai kesudah tak jawab soalan Dr Hafidzah