MP Pas disindir guna sumber wikipedia ketika berhujah isu bak kut teh

Isu menu bak kut teh yang baru disenaraikan bersama 10 hidangan lain sebagai makanan warisan negara hangat diperdebatkan di Dewan Rakyat kelmarin.

Video perdebatan itu beredar di media sosial selepas ahli Parlimen blok pembangkang, Mohd Misbahul Munir Masduki menggunakan rujukan Wikipedia sebagai sumber kepada hujahannya.

Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN) itu berkata, Bak bermaksud sup tulang rusuk khinzir, berdasarkan rujukannya dalam Wikipedia.

“Saya rujuk dalam Wikipedia, Bak tu sebenarnya dirujuk pada sup tulang rusuk khinzir,” katanya.

Sejak dahulu lagi, semua universiti dalam negara telah mengeluarkan larangan kepada pelajarnya daripada menjadikan Wikipedia sebagai sumber rujukan bagi tugasan akademik mereka.

Wikipedia dikenali mempunyai sumber maklumat yang kesahihannya diragukan.

Sementara itu membidas wakil rakyat pembangkang berhubung maksud ‘bak’, ahli Parlimen Ipoh Timur Howard Lee menjelaskan bahawa perkataan itu adalah dalam bahasa Hokkien yang bermaksud daging.

“Bak dalam bahasa Hokkien adalah daging, bukan khusus daging khinzir, itu salah. Kalau tu bak, itu daging khinzir, gu bak daging lembu,” jelasnya.

Mohd Sany Hamzan (PH-Hulu Langat) ketika sesi perbahasan titah diraja turut mempersoalkan tindakan segelintir wakil rakyat yang mempolitikkan serta mewujudkan konflik berkaitan menu tersebut.

Untuk rekod, makanan lain yang turut tersenarai sebagai makanan warisan negara termasuklah nasi ambeng, mi kolok, dodol kukus tahi minyak, kuih genggang atau lapis, karas, uthappam, jeruk tuhau dan air katira serta bah kut teh.

BACA JUGA Exco Kelantan sampai kesudah tak jawab soalan Dr Hafidzah