Sah Rashid Asari sokong MB Amirudin Shari

ADUN Selat Kelang Datuk Abdul Rashid Asari mengesahkan bahawa beliau menyokong kepimpinan Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari.

Beliau turut mendedahkan punca beliau berbuat demikian dalam kenyataan medianya.

“Keputusan ini dibuat dengan rela hati tanpa sebarang paksaan setelah saya meneliti titah ucapan DYMM Sultan Selangor yang memuji pentadbiran kerajaan negeri Selangor yang berada di landasan yang tepat demi kemajuan negeri dan kesejahteraan rakyat.

“Langkah ini juga adalah akibat dari beberapa siri tindakan Perikatan Nasional yang dilihat berdiam diri terhadap tohmahan yang dilontar kepada Raja-raja Melayu.

“Ini adalah berlawanan dengan prinsip orang Melayu beragama Islam.”

Pagi ini Harapan Daily melaporkan seramai lima orang ADUN Bersatu Selangor bakal menyokong Amirudin di Selangor.

Beliau menambah tindakan menyokong pentadbiran kerajaan dibuat demi memastikan kesejahteraan rakyat Selat Kelang.

Sepertimana yang berlaku di Dewan Rakyat, beliau turut menjelaskan bahawa beliau kekal sebagai ahli Bersatu.

Persoalan samada Bersatu akan mengambil tindakan selaras dengan pindaan perlembagaan yang dibuat baru-baru ini akan dapat dilihat dalam hari – hari mendatang.

Bersatu hanya boleh bertindak selepas Pendaftar Pertubuhan meluluskan pindaan tersebut.