Selepas dilepas dan dibebaskan daripada tuduhan rasuah RM3 juta, ini reaksi Isa Samad

Bekas Pengerusi Felda, Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad tidak menolak kemungkinan kembali aktif dalam arena politik selepas dilepas dan dibebaskan daripada sembilan tuduhan rasuah RM3 juta.

Walau bagaimanapun, beliau mengakui tiada perancangan untuk tujuan tersebut dan berkata, ia bergantung kepada keadaan.

“Saya sudah bersara daripada politik, jadi saya tiada perancangan. Politik adalah subjektif, boleh masuk dan boleh tidak, ia bergantung kepada keadaan.

“Kalau keadaan baik dan memerlukan (saya kembali terbabit politik), saya boleh sertai dan kalau sebagai penyokong parti saja, saya tidak berubah.

“Kes pun belum habis lagi, mungkin ada rayuan lain tetapi yang pasti saya adalah penyokong UMNO yang taat setia,” katanya kepada pemberita di lobi Istana Kehakiman, hari ini.

Mahkamah Rayuan di Putrajaya, hari ini melepas dan membebaskan Mohd Isa, 75, atas sembilan pertuduhan rasuah berjumlah RM3 juta berkaitan pembelian hotel di Sarawak.

Panel tiga hakim dipengerusikan Datuk Vazeer Alam Mydin Meera, yang bersidang bersama Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim dan Datuk S M Komathy Suppiah, membuat keputusan itu secara sebulat suara selepas membenarkan rayuan beliau.

BACA JUGA Isa Samad bebas pertuduhan rasuah beli hotel di Kuching