DAP Perak kutuk ugutan di rumah ibu Nga Kor Ming

DAP Perak sebulat suara mengutuk ugutan yang ditulis pada kertas yang ditemui bertebaran di premis rumah Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming pagi ini.

Parti tersebut juga mahu menyeru semua pihak menghormati kepelbagaian.

“Dalam masyarakat yang demokratik dan berbilang kaum, adalah penting untuk kita menegaskan bahawa kepelbagaian harus dihormati dan suara yang berbeza harus diterima dengan penuh keterbukaan.

“Walaupun kita mungkin berbeza pendapat dalam dasar ataupun ideal politik. Namun, kita tidak sepatutnya membenarkan perbezaan itu melanggar batas-batas kesusilaan, selain boleh mengganggu-gugat anggota keluarga tersayang,” kata parti tersebut dalam satu kenyataan.

Mereka turut mengutuk perbuatan tersebut kerana melanggar undang-undang dan bercanggah dengan nilai masyarakat beradab.

Polis Diraja Malaysia sedang menjalankan siasatan terhadap kes ini.