Pas tak bantah pula YIK gantikan sistem pencen
Naib Presiden PKR, Nik Nazmi Nik Ahmad mempersoalkan Pas yang tidak pula membantah apabila Yayasan Islam Kelantan (YIK) menggantikan skim pencen dengan caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).
Menurutnya, kenyataan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkaitan cadangan menghapusan pencen penjawat awam tidak mengambarkan keadaan sebenar berhubung cadangan berkenaan.
“Kalau nak dikatakan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) tidak Islamik atau mengikut ajaran Rasulullah SAW pada tahun 2022 Yayasan Islam Kelantan (YIK) iaitu agensi Kerajaan Negeri Kelantan, telah melihat skim baharu yang dinamakan Skim Jawatan Tetap Bercarum. Skim ini menggantikan skim pencen dengan caruman KWSP (Kumpulan Wang Simpanan Pekerja).
“Mengapa ketika YIK mengumumkan cadangan ini, tiada bantahan daripada Pas?
“Adakah Hadi tidak tahu KWSP memiliki pilihan Simpanan Syariah yang diuruskan dan dilaburkan mengikut prinsip syariah?” soal Nik Nazmi, menerusi kenyataan hari ini.
Semalam, Hadi yang merupakan Ahli Parlimen Marang semasa perbahasan di Dewan Rakyat, mengingatkan kerajaan ditadbir Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya jangan hanya melaungkan slogan Madani tetapi tidak mengikuti ajaran Nabi.
Kata Hadi, penghapusan pencen penjawat awam adalah bertentangan dengan Islam yang dibawa Nabi Muhammad SAW dan mendakwa ia telah diperkenalkan oleh Rasullulah ketika baginda menjadi ketua negara Islam pertama di Madinah.
Mengulas lanjut, Nik Nazmi yang juga Ahli Parlimen Setiawangsa menegaskan Hadi tidak wajar mengeluarkan kenyataan jahil.
“Sebagai seorang yang mempunyai ilmu agama, Hadi tidak sepatutnya mengeluarkan kenyataan jahil sebegini yang tidak memberi gambaran sebenar cadangan Kerajaan Persekutuan, malah pada masa yang sama kenyataannya bertentangan dengan tindakan Kerajaan Kelantan dan institusi Pas sendiri,” ujarnya.
Dalam masa sama, Nik Nazmi mendakwa, kebajikan guru di Pusat Asuhan Tunas Islam (PASTI) tidak terjaga kerana tidak mempunyai caruman KWSP dan caruman Perkeso hanya dilakukan pada 2021 selepas lebih 30 tahun beroperasi.
“Setiap kali isu ini dibangkitkan, mereka akan mengatakan guru guru PASTI bukan bekerja tetapi bersifat sukarelawan.
“Soalan saya, selepas 30 tahun beroperasi bukankah Pas memiliki tanggungjawab moral untuk memastikan kebajikan guru guru PASTI terjaga?” bidas Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim itu lagi.
BACA JUGA Peningkatan hutang kerajaan tahun lalu lebih rendah berbanding 2022