Tidak ‘madani’kah skim KWSP ikut ‘fatwa’ Hadi?
Oleh AHMAD MURSI
Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang mengkritik cadangan ‘hapuskan’ pencen penjawat awam kerana bersalahan dengan tindakan Nabi Muhammad SAW dan ‘tidak Madani’.
Mengkritik berkaitan polisi kerajaan adalah haknya, tetapi menghukum wajib secara mutlak skim pencen ini dengan bersandarkan kepada Nabi SAW perlulah lebih cermat.
Saya sentiasa harapkan Haji Hadi berkongsi nas yang jadi rujukannya apabila menyandarkannya kepada Nabi SAW supaya tidak dihukum berbohong atas nama baginda.
Jika beralih kepada skim KWSP (yang juga bertujuan menjaga kebajikan pesara), bermaksud meninggalkan ajaran Nabi, maka kerajaan Pas Kelantan lebih awal telah melakukannya dalam pengambilan guru Yayasan Islam Kelantan (YIK) tetap sejak 2022.
Kerapkali hal yang diberi keluasan hukum oleh Islam kepada pemerintah dihukum wajib secara mutlak dengan hanya memetik dalil-dalil mengikut selera Pas tanpa melihat konteks.
Walhal, kaedah fikh menyebut: “Tindakan pemerintah dalam urusan rakyat dibina di atas maslahah” تصرف الإمام على الرعية منوط بالمصلحة. Banyak polisi pemerintahan Nabi SAW berubah semasa zaman Khulafa’ Rashidin kerana keadaan dan maslahah turut berubah.
Sebelum Haji Hadi keluarkan ‘fatwa’, amat baik jika boleh dikaji keupayaan kewangan kerajaan yang kini menggunakan hampir 8% dari belanjawan negara untuk tanggungan pencen dan bakal menanggung RM120 bilion menjelang 2040 dalam masa sama hutang negara mencapai RM1.5 trillion untuk ditanggung anak-anak dan cucu-cucu kita.
Dengan itu, Pas boleh mengelak dari mengeluarkan hukum secara separuh masak dengan menghukum secara literal (khususnya hal siyasah syar’iyyah) tanpa melihat konteks dan maslahah.
Tentulah Haji Hadi lebih faham betapa besarnya bebanan pencen kepada kewangan kerajaan kerana dia penerima manfaat pencen berlapis-lapis untuk jawatan MB, ADUN, MP dan Duta Khas bertaraf Menteri (walaupun tidak sepenuhnya melaksanakan tugas).
Dalam banyak insiden, pandangan ‘ulama’ Pas seperti ini dianggap wajib ditaati kerana itulah agama.
Mempersoalnya bermaksud mempersoal agama dan layak ditanam di ‘jirat’ kata ustaz Pas.
BACA JUGA KWSP bukan cagaran, pencarum masih boleh disenarai hitam