Dakwa RM30,000 duit Tabung Haji lesap, rupanya dipindahkan ke akaun bank sendiri

Dakwaan bahawa seorang bekas pegawai kanan kerajaan kerugian lebih RM30,000 selepas wang dalam akaun Tabung Haji miliknya dipindah ke akaun milik orang lain, adalah tidak benar.

Ia disahkan sendiri Tabung Haji selepas mendapati wang yang didakwa hilang itu sebenarnya telah dimasukkan ke dalam akaun bank milik pengadu itu sendiri.

“Merujuk kepada dakwaan transaksi tidak sah yang berlaku di Sarawak yang dilaporkan media hari ini, siasatan TH mendapati transaksi pemindahan wang adalah daripada akaun TH pengadu kepada akaun bank miliknya sendiri,” katanya dalam satu kenyataan pada semalam.

Datuk Jabidah Monseri, 66, terdahulu dilapor mendakwa mengalami kerugian lebih RM30,000 selepas wang di dalam akaun TH miliknya disyaki dipindah ke akaun milik orang lain.

Dakwa bekas Timbalan Ketua Pengarah Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK), wang itu dikeluarkan dengan menggunakan mesin juruwang automatik (ATM) sejak tahun 2018 dan kehilangan wang berkenaan hanya disedarinya pada 30 November lalu.

Ia disebabkan selepas bersara pada 2017, Jabidah ditawarkan jawatan baharu sebagai Pengerusi UNIMAS Holdings iaitu anak syarikat milik Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) menyebabkan beliau sibuk dan tidak mengemas kini akaun TH miliknya.

Bagaimanapun, pengadu terjumpa semula buku akaunnya pada November tahun lalu dan mengemas kini akaun itu di pejabat TH Kuching.

Tabung Haji

BACA JUGA Guru PASTI pun bergaji bawah kemiskinan, ironi bila Hadi petik soal pencen