Isu picisan dan Perikatan Nasional berpisah tiada

Perikatan Nasional (PN) yang ditunjungi oleh PAS dan Bersatu, mencari jalan mudah dengan menjaja isu-isu picisan untuk terus kekal relevan dalam persada politik negara.

Apa tidaknya, apabila bak kut teh antara 10 jenis hidangan diwartakan sebagai makanan warisan negara dalam Pengisytiharan Objek Warisan 2024, pemimpin dan penyokong mereka meroyan seolah-olah makanan warisan tersebut hanya untuk kaum tertentu sahaja di negara ini.

Pihak Jabatan Warisan Negara sendiri memutuskan untuk mewartakan bak kut teh yang disenaraikan sebagai objek dalam kategori sup melalui subseksyen 49(1) Akta Warisan Kebangsaan 2005. Makanan lain yang turut tersenarai adalah dodol kukus tahi minyak, kuih genggang atau lapis, karas, uthappam, jeruk tuhau dan air katira serta burasak, mi kolok dan nasi ambeng.

Yang pelik, PAS sendiri pernah pada 8 Oktober 2018, melalui Lajnah Perpaduan Nasional telah memperkenalkan bak kut teh halal, dan peristiwa itu dilaporkan media Pas melalui pas.org.my. Bak kut teh halal versi Lajnah Perpaduan Nasional disediakan khas oleh salah salah seorang Ahli Jawatankuasa Lajnah Perpaduan Nasional berketurunan Cina menggunakan daging kambing atau ayam.

Namun hari ini parti itu dan penyokongnya memainkan isu pewartaan bak kut teh sebagai isu yang dakwa mereka mencemarkan agama Islam sebagai agama Persekutuan kerana berdasarkan fikiran sempit mereka semua resipi bak kut teh itu berasaskan tulang khinzir. Sebenarnya mereka sudah lupa apa yang mereka lakukan sebelum ini, biasalah bak kata mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad ‘Melayu ini mudah lupa’.

Begitu juga apabila Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming mencadangkan Kampung Baru Cina di Selangor sebagai tapak warisan Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unesco), kritikan keras di luar dan dalam Parlimen terus bergema seolah-olah sudah tiada isu rakyat lain yang lebih penting untuk ditangani.

Bagi mereka, cadangan tersebut secara tidak langsung mengiktiraf gerakan komunis di kampung berkenaan. yang dijadikan kambing hitam adalah DAP. Dalam pandangan DAP parti yang bersimpati dengan komunis.

Sekali mereka mungkin sudah lupa atau malas membaca sejarah bahawa ada sebuah kampung di Melaka dikenali sebagai Kampung Morten sudah lama mendapat pengiktifaran sebagai warisan dunia. Kewujudannya sejak 1922 tidak pernah menggugat keharmonian kejiranan setempat.

Sepatutnya golongan yang begitu taksub dengan keIslaman dan keMelayuannya itu, bertanyakan kenapa semasa menjadi kerajaan selama 33 bulan tiada usaha-usaha atau cadangan menjadikan Kampung Baru dan Kampung Dato Keramat di Kuala Lumpur sebagai tapak warisan dunia Unesco sebelum lenyap seperti Kampung Abdullah Hukum dan Kampung Kerinchi.

Pengiktirafan Unesco itu adalah penting supaya tapak tersebut tidak boleh dibangunkan sewenang-wenangnya dan digantikan dengan bangunan baharu supaya generasi akan datang kenal asal-usul dan sejarah kampung itu.

Oleh itu, bangkitlah wahai pemimpin dan penyokong pembangkang. Cerminlah diri sebelum membuka mulut supaya tahu apa yang dituturkan itu benar-benar berpijak di bumi yang nyata dan bukan setakat retorik politik sempit untuk menagih simpati ramai.

Banyak lagi isu-isu yang mencengkam rakyat yang perlukan diketengahkan dan bukannya isu picisan memainkan sentimen agama dan kaum hanya untuk terus popular tapi hasilnya tidak kemana.

Jadilah pembangkang yang berani mengemukakan idea yang boleh menyelesaikan sesuatu isu selain terus mengimbangi apa yang dilakukan oleh kerajaan yang memerintah.

Â