Wan Ahmad Fayshal dituntut bayar ganti rugi RM10 juta

Mantan setiausaha politik Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, Farhash Wafa Salvador telah menuntut RM10 juta sebagai ganti rugi daripada MP Machang Wan Ahmad Fayshal Wan Ahmad Kamal.

Tuntutan tersebut dibuat susulan dakwaan Wan Ahmad Fayshal bahawa Farhash terlibat dalam menawarkan rasuah dan mengugut ahli parlimen agar menyokong Anwar.

Fayshal dikatakan membuat dakwaan tersebut di dalam satu sidang media di parlimen pada 14 November lalu.

Farhash turut mendakwa Fayshal sebagai berkata ada video tular yang membuktikan perkara di atas, lapor Malaysiakini.

Ekoran itu Farhash menafikan dakwaan tersebut sebagai tidak benar.

Beliau kini menuntut RM10 juta sebagai gantirugi punitif,berlarutan dan am.

Turut dituntut ialah arahan mahkamah agar pemimpin Bersatu tersebut menarik balik kenyataan fitnah tersebut dan permohonan maaf yang perlu disiarkan menerusi media massa dan sidang media.

Selain itu Farhash juga menuntut injunksi agar Fayshal tidak mengulangi kenyataan fitnah dan arahan mahkamah agar Fayshal menurunkan kenyataan tersebut dari media sosial dan laman sesawangnya.

Wan Fayshal diwakili firma Chetan Jethwani & Company manakala Farhash, Ahmad Deniel Ruben & Co.