Bekas pengikut bongkar agenda ‘kerajaan 9’, rancang angkat Mawla Amin sebagai imam Mahdi

Seorang bekas pengikut kepada Mawla Mohamed Amin al-Hassani atau Mawla Amin membongkar agenda ‘Kerajaan 9’ yang sedang dirancang untuk ditubuhkan oleh Mawla tersebut.

Menurut laporan Harian Metro, perkara itu didedahkan bekas pengikutnya kepada akhbar tersebut selepas menyedari terpedaya dengan perancangan mereka ingin membangunkan perkampungan itu sejak 2017 lagi.

Dilaporkan, bekas pengikut itu merupakan seorang personaliti media namun tidak didedahkan identitinya.

Dakwa individu tersebut, penubuhan negara daulah kerajaan sembilan didalangi Mawla Amin dan seorang mudir madrasah, dengan rancangan untuk mengangkat lelaki berketurunan Perancis-Algeria itu sebagai Imam Mahdi.

“Saya menyedari ketika berada di dalam kumpulan WhatsApp, mereka ada menceritakan perancangan berkaitan penubuhan negara daulah kerajaan sembilan yang akan membabitkan perkampungan akhir zaman, selain perancangan mengangkat Mawla Amin sebagai Imam Mahdi apabila tiba waktunya nanti,” dedahnya seperti dilapor akhbar tersebut.

Individu itu menambah, ketika berada bersama mereka, mudir madrasah terbabit ada memberi penerangan berkaitan kerajaan sembilan iaitu sembilan pakar dalam sembilan perkara di mana mereka akan dilantik menggerakkan yayasan baru yang ditubuhkan.

Berhubung pengikut Mawla Amin, mereka dikatakan bukan dalam kalangan orang yang berada.

Justeru pembelian 11 hektar tanah di Melaka yang membabitkan kos RM3.4 juta bagi membangunkan perkampungan kerajaan sembilan didakwa dibiayai menggunakan dana awam semata-mata.

“Perkampungan itu akan dibangunkan kepada dua bahagian iaitu The Moulay Height iaitu kawasan penempatan Mawla Amin dan pembesar serta ahli khidmat.

“Manakala satu bahagian lagi Jabal Alam Malacca The Moulay Village iaitu penempatan pengikut yang ingin menjalani kehidupan bersama mereka.

“Pada 2 September 2023, saya juga menerima mesej WhatsApp dari Mawla Amin berkaitan fail PDF yang saya yakin ia adalah pelan perancangan negara daulah kerajaan sembilan dan cuba membabitkan saya dalam perancangan itu melalui satu syarikat sedangkan syarikat ditubuhkan itu tidak pernah berfungsi dan langsung tiada transaksi,” katanya.

Tambahnya, dia pernah dilantik oleh mudir madrasah terbabit untuk mencari dana bagi menggerakkan program Mawla Amin seperti di USM, Pulau Pinang, sebuah madrasah di pantai timur, makan malam di Putrajaya dan beberapa program yang dibatalkan di Kedah, Terengganu dan Selangor.

“Transaksi dana yang diuruskan termasuk wang ringgit dan emas dengan jumlah terkumpul RM600,000 sepanjang dua tahun saya bersama mereka, malah saya juga memindahkan RM13,800 ke akaun bank milik Mawla Amin di mana dana diberikan itu atas dasar infak dan pinjaman,” ujarnya.

Polis kini dilaporkan sedang memantau kegiatan Mawla Amin dan pengikutnya, serta menyiasat untuk mengenal pasti sebarang kesalahan atau penyelewengan yang dilakukan.

BACA JUGA Mat Sabu terima kunjungan Wanita Umno perkukuh kerjasama dua parti