Ayam Bismi tandatangan MoU dengan Fama, bekal 60 tan ayam
Syarikat penternakan ayam Bumiputra terbesar di Malaysia, Ayam Bismi, menandatangani memoradum persefahaman (MoU) dengan Lembaga Pemasaran Persekutuan (Fama) untuk membekalkan 60 tan metrik ayam kepada badan pemasaran kerajaan itu.
MoU ini dihasilkan selepas Kongres Ekonomi Bumiputra (KEB) di mana Ayam Bismi antara peserta yang aktif sepanjang kongres itu.
Dengan MoU tersebut Ayam Bismi sebagai syarikat penternak akan membekalkan sebanyak 60 tan ayam kepada Fama untuk dipasarkan di outlet sepanjang 2024 ini.
(GAMBAR: Mazlina dan Zuriana menunjukkan MoU yang mereka tandatangani antara Ayam Bismi dan Fama – gambar FB Mazlina)
Menurut Pengerusi Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama), Tuan Haji Aminuddin Zulkipli, memorandum persefahaman tersebut adalah untuk mewujudkan satu kerjasama yang akan menyokong agenda keterjaminan makanan negara melalui pembekalan dan pengedaran ayam proses halal.
“Melalui kerjasama ini Fama berusaha untuk memastikan ketersediaan bekalan ayam proses halal bagi memenuhi keperluan dalam program-program jualan langsung dan outlet-outlet peruncitan Fama
“Pihak Ayam Bismi akan membantu menyediakan bekalan ayam proses kepada Fama mengikut keperluan,” kata Aminudin dalam satu sidang akhbar di Pusat Jualan Utama Ayam Bismi di Simpang Empat Kangkong di sini hari ini.
Beliau berkata demikian selepas majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara Fama dan Ayam Bismi Sdn. Bhd. (Ayam Bismi) di pejabat pengurusan syarikat berkenaan di sini hari ini.
MoU tersebut disempurnakan oleh Pengarah Fama Kedah, Puan Zuriana Mat Adam dan Pengarah Kanan Bahagian Segar Fama, Tuan Shahrizan Sudiman mewakili Fama sementara Ayam Bismi diwakili Pengerusinya, Haji Jaffri Ahmad dan Pengarah Urusannya, Hajah Mazlina Kamarudin.
Mengulas lanjut, kata Tuan Haji Aminuddin lagi, pemilihan Ayam Bismi bagi pasaran negeri Kedah itu adalah dengan reputasi syarikat ini sebagai syarikat mandiri yang menternak, memproses dan mengedar ayam selain status halal.
“Sebagai tambahan, Ayam Bismi mempunyai rumah sembelihan yang berstatus Halal oleh Jakim (Jabatan Kemajuan Islam Malaysia) serta memiliki Sijil MeSTl iaitu Skim Pensijilan Makanan Selamat Tanggungjawab Industri yang diiktiraf oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), ini sekaligus menjadikan jenama Ayam Bismi sebagai produk ayam halal di Malaysia,” katanya.
Dalam pada itu menurut Hajah Mazlina, pihaknya terharu dengan keyakinan yang diberikan oleh Fama untuk membekalkan ayam bagi pasaran Kedah.
“Saya berterima kasih atas kepercayaan Fama ini dan kami berjanji untuk memberikan harga terbaik. Dalam soal produk dan kualiti, kami akan menyokong semua acara anjuran Fama,” katanya.
Tambah beliau, Ayam Bismi juga berharap kerjasama dengan Fama ini mampu menstabilkan harga di pasaran.
“Ayam Bismi sebagai syarikat penternak akan memberikan harga terbaik kepada Fama.
“Fama apabila menjual ayam ini kelak adalah pada harga Rahmah seterusnya memanfaatkan rakyat. Sokongan Ayam Bismi kepada Fama adalah sebagai ejen penstabilan ayam itu,” katanya.
Jaffri dan isterinya Mazlina adalah penternak ayam berjaya yang berpusat di Kedah.
Kini Ayam Bismi menternak 12 juta ekor ayam setahun atau satu juta ekor ayam sebulan.
Di samping itu, Ayam Bismi juga memiliki Rumah Makan Percuma yang menyediakan makanan tengah hari secara percuma kepada 550 orang setiap hari.
Jualan tahunan Ayam Bismi pada tahun 2023 adalah sebanyak RM236 juta.
BACA JUGA Mufti kena jawab dakwaan Hadi terhadap Raja-raja Melayu