Kerajaan Kelantan hilang 11 keping tanah, rugi jutaan ringgit

Kerajaan negeri Kelantan diminta menjelaskan bagaimana boleh berlaku 11 keping tanah yang didaftarkan di atas nama Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK) telah terpaksa dilelong sehingga menyebabkan kerajaan negeri kerugian berjuta ringgit.

Adun Galas (BN) yang juga Ketua Pembangkang DUN Kelantan, Mohd Syahbuddin Hashim bertanya, apakah tindakan kerajaan negeri Pas ini bagi memastikan perkara ini tidak berulang lagi.

“Apakah tindakan kerajaan negeri Kelantan dalam memastikan usahasama sebegini tidak lagi menyebabkan kerajaan negeri menanggung kerugian dalam perjanjian kerjasama sebegini dari segi guna tanah seperti mana yang berlaku kepada projek usahasama Che Siti Village di Tunjung,” tanya beliau.

Kerajaan negeri Kelantan telah kehilangan 11 lot tanah tapak projek Che Siti Village di Tunjong, Kota Bharu apabila tanah itu dilelong oleh pihak bank.

Ia berlaku selepas kegagalan pemajunya memajukan tanah itu sedangkan syarikat pemaju mendapat jutaan ringgit wang percuma dengan menjadikan tanah itu sebagai cagaran.

Projek Che Siti Village dibuat hasil kerjasama anak syarikat kerajaan negeri dengan syarikat Sara Timur Sdn Bhd yang berkesudahan tanah tersebut dilelong oleh bank.

Ia berlaku apabila syarikat tersebut telah digulung selepas kegagalan projek itu.

“Kini tanah tersebut terbiar begitu saja sejak 2011,” kata Syahbudin ketika bertanya soalan kepada Exco Kerajaan Negeri dalam Dewan Undangan Negeri Kelantan semalam.

Namun begitu, Exco Kerajaan Negeri ketika menjawab soalan ini berkata, PMBK ada penjelasannya namun beliau enggan menjawab di dalam DUN tersebut.

Beliau mengesahkan lelongan 11 keping tanah tersebut dan ia berlaku pada 2019 lagi.

BACA JUGA Mufti kena jawab dakwaan Hadi terhadap Raja-raja Melayu