Menteri seru kembangkan lagi industri rumpai laut

Jabatan Perikanan Malaysia (DOF) perlu memainkan peranan dalam mengembangkan lagi industri rumpai laut di negara ini, seru Datuk Seri Mohamad Sabu.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan kini dalam siri lawatan kerja rasminya di Semporna, Sabah dan meluangkan masa melawat Projek Penanaman Rumpai Laut di daerah berkenaan.

”Apa yang saya perhatikan, industri rumpai laut ini perlu mendapat lebih sokongan dan perhatian daripada pihak Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri.

”Ketika ini rumpai laut digunakan sebagai bahan campuran dalam produk kesihatan dan ada juga dimakan secara terus terutama di restoran Jepun dan Cina,” katanya dalam satu hantaran di Facebook beliau, hari ini.

Usai lawatan tersebut, Mohamad yang juga Ahli Parlimen Kota Raja berharap, industri rumpai laut dapat dikembangkan kerana ia mempunyai potensi yang cukup baik.

Selain potensi yang positif, industri berkenaan juga katanya berupaya menjana pendapatan selesa kerana permintaan di peringkat global yang sedang berkembang ketika ini.

BACA JUGA Mat Sabu terima kunjungan Wanita Umno perkukuh kerjasama dua parti