MP Kerajaan MADANI ingatkan Mahiaddin episod 2021

Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Karim meminta Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Mahiaddin Yassin melihat rekod lampau sendiri sebelum menuduh dan mendakwa Kerajaan MADANI menekan kebebasan dan tidak demokratik.

Menerusi hantaran di laman sosial, Hasan bertanya benarkah Kerajaan PN pimpinan Muhyiddin sebelum ini lebih bebas dan demokratik berbanding Kerajaan MADANI pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim yang didakwa Pengerusi PN itu menekan kebebasan demokrasi.

“Saya tidak berhasrat untuk mempertahankan rekod Kerajaan Madani dalam soal kebebasan demokrasi.

“Pun begitu, izinkan saya untuk menyatakan satu fakta mengenai apa yang sesungguhnya berlaku semasa pemerintahan Kerajaan PN pimpinan Muhyiddin,” tulisnya.

Reaksi Hassan itu susulan amanat utama Mahiaddin dalam konvensyen menghimpunkan wakil rakyatnya di peringkat Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) semalam.

Antara lain, Mahiaddin mengkritik Kerajaan Perpaduan, termasuk mendakwa kerajaan menekan kebebasan rakyat dan tidak demokratik.

Mengulas lanjut, Hassan turut berkongsi pengalaman dihalang masuk bangunan Parlimen atas alasan pengisytiharan darurat oleh Mahiaddin, kira-kira tiga tahun lalu.

“Pada satu hari selepas Subuh, saya berlepas dari Johor untuk menghadiri sidang Dewan Rakyat di Kuala Lumpur.

“Sesampainya saya di bulatan Jalan Parlimen, pasukan Unit Simpanan Persekutuan (FRU) yang lengkap dengan senapang dan perisai menghalang saya masuk.

“Saya dapati kemudian semua Ahli Parlimen juga disekat masuk, termasuklah Anwar Ibrahim yang ketika itu menjadi Ahli Parlimen Port Dickson dan Dr Mahathir Mohamad (Langkawi).

“Kami diberitahu bahawa Parlimen telah digantung dan Perdana Menteri kelapan, Muhyiddin Yassin telah mengisytiharkan darurat di seluruh negara.

“Saya selaku Ahli Parlimen Pasir Gudang yang telah dipilih oleh rakyat, tindakan Muhyiddin ketika itu adalah tidak demokratik dan menekan kebebasan Parlimen,” ujarnya.

Mahiaddin antidemokrasi

Sehubungan itu, Hassan membantah keputusan kerajaan PN ketika itu dan memfailkan tindakan semakan kehakiman terhadap keputusan kerajaan mengisytiharkan darurat serta menggantung Parlimen.

“Maka saya telah mencabar tindakan Presiden Bersatu itu dan kerajaannya.

“Saya telah memfailkan tindakan semakan kehakiman (judicial review) ke atas keputusan Kerajaan PN mengisytiharkan darurat dan menggantung Parlimen.

“Saya memohon supaya Mahkamah Tinggi Johor Bahru mengisytiharkan bahawa proklamasi darurat itu tidak sah.

“Permohonan saya itu telah ditolak oleh mahkamah. Saya yang dilatih sebagai seorang peguam tidak mudah menyerah kalah.

“Saya ingin membuktikan bahawa tindakan Mahiaddin yang antidemokrasi itu adalah salah,” jelasnya.

Dalam masa sama, wakil rakyat PKR itu berkata, beliau kemudian memfailkan rayuan di Mahkamah Rayuan tetapi kalah sebelum meneruskan rayuan di Mahkamah Persekutuan dan masih belum selesai.

“Jadi, apabila dalam Konvensyen Wakil-Wakil Rakyat PN, Mahiddin menuduh Kerajaan MADANI pimpinan Anwar sebagai menekan kebebasan dan tidak demokratik, maka saya fikir ada moleknya Pengerusi PN itu melihat rekod lampaunya sendiri,” tambahnya lagi.

BACA JUGA Lapan sebab komplot tumbangkan Kerajaan Perpaduan tidak akan berjaya