Noh sah tak berebut jadi calon PRK Tanjong Karang

Tan Sri Noh Omar tidak akan berebut menjadi calon atas tiket Perikatan Nasional (PN) dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Tanjong Karang susulan keahlian wakil rakyatnya, Datuk Dr Zulkafperi Hanapi bakal terlucut.

Bekas Ahli Parlimen Tanjong Karang itu berkata beliau tidak akan membuat “comeback” walaupun diberi laluan untuk mempertahankan kerusi Bersatu itu.

“Prinsip saya, saya tak kejar jawatan, kalau tengok sejarah saya, walaupun saya dulu digugurkan daripada Menteri Kabinet, saya bekerja seperti biasa, masuk balik (kerajaan) jadi menteri,” katanya, lapor media.

Noh yang juga bekas Pengerusi Perhubungan UMNO Selangor dalam masa sama mengingatkan rakan-rakannya dalam PN agar tidak mengejar kedudukan.

“Saya ingatkan kawan-kawan (PN), dalam politik, jangan kejar jawatan, kalau kejar jawatan, akhirnya jawatan itu akan tinggalkan kita.

“Saya bekerja ikhlas demi untuk agama, bangsa dan agama,” kata mantan Menteri Pembangunan Usahawan berkenaan pada sidang media, hari ini.

Noh yang juga bekas Pengerusi Barisan Nasional (BN) Selangor dan bersama BN lebih 30 tahun menjadi wakil rakyat Tanjong Karang selama enam penggal berturut-turut sejak 1995.

Awal tahun lalu, Noh digantung keahlian selama enam tahun menerusi keputusan dibuat Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO.

Namun, beliau meminta untuk dipecat dan permintaan itu dipersetujui Presiden parti, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Pada 24 Januari lalu, Dr Zulkafperi menjadi Ahli Parlimen PN keenam yang menyatakan sokongan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Lima lagi Ahli Parlimen daripada PN berbuat demikian, semuanya daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Mereka adalah Ahli Parlimen Bukit Gantang, Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal, Zahari Kechik (Jeli), Mohd. Azizi Abu Naim (Gua Musang), Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar) dan Datuk Dr Suhaili Abdul Rahman (Labuan).

BACA JUGA Dua lagi ADUN Bersatu ikut langkah Rashid Asari?