Sanusi sering guna maklumat dalam mesyuarat jadi modal ceramah PN

Pengerusi bersama mesyuarat Majlis Tindakan Pembangunan Negeri Kedah, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor sering menggunakan maklumat dalam mesyuarat sebagai modal ceramah politik.

Menurutnya, Menteri Besar Kedah berkenaan tidak patut merungut mengenai mesyuarat itu yang tidak diadakan lebih setahun selepas dia didapati sering menggunakan maklumat dalam mesyuarat yang dihadiri sebagai modal berceramah di pentas politik.

Menteri Dalam Negeri berkenaan berkata, Sanusi tidak tahu membezakan perkara berkaitan urusan negara dengan perbezaan politik sehingga kadang kala memperlekeh pengerusi mesyuarat yang dihadirinya.

“Dia tak perlu mengadu kenapa mesyuarat pembangunan negeri tak dibuat. Menteri Besar ini banyak hadir mesyuarat Persekutuan, mesyuarat kewangan dan mesyuarat keselamatan.

“Tetapi saya dapati apabila dia balik daripada mesyuarat itu, dia gunakan maklumat dalam mesyuarat untuk ceramah kepada Pas cawangan sedangkan maklumat disampaikan tidak memberi gambaran sebenar.

“Mesyuarat rasmi kerajaan ada yang bertaraf rahsia besar, bertaraf sulit dan kalau dia hadir mesyuarat Persekutuan, kemudian balik hanya untuk memperlekeh apa yang berlaku dalam mesyuarat, maka dia seorang yang tak jaga decorum,” katanya, lapor BH.

Sanusi Md Nor

Saifuddin berkata demikian selepas Program Ihya Ramadan Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kedah bersama masyarakat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulim, hari ini.

Pada sesi penggulungan sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah, 7 Mac lalu, Sanusi menzahirkan rasa kecewa dengan tindakan Saifuddin.

Sanusi yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN) negeri itu mendakwa Saifuddin gagal mengadakan mesyuarat itu sejak lebih setahun lalu bagi membincangkan projek infrastruktur Kerajaan Persekutuan di Kedah dengan kerajaan negeri.

Kata pemimpin Pas berkenaan, perkara itu tidak harus berlarutan kerana ia berkait dengan peruntukan di bawah Persekutuan dan sebahagiannya terletak bawah kuasa negeri seperti tanah.

Mengulas lanjut, Saifuddin berkata, tiada sebarang gangguan terhadap tugas dan peranan beliau sebagai pengerusi jawatankuasa itu bagi memantau pelaksanaan projek Persekutuan di Kedah walaupun mesyuarat itu sudah lama tidak diadakan.

Jelasnya, projek Persekutuan di negeri terbahagi kepada dua iaitu projek bukan fizikal yang boleh dilaksanakan seperti biasa dan projek fizikal yang lazimnya membabitkan kerja sambungan daripada kelulusan terdahulu.

“Tadi saya hadir program di bawah Pejabat Kemajuan Negeri, tiga hari lepas pun saya hadir yang sama.

“Jadual saya penuh untuk bulan ke depan kerana kita melihat projek sambungan yang tak boleh berlaku kelewatan seperti projek loji rawatan air.

“Kecuali projek baharu yang perlukan urusan tanah, tetapi jika projek Persekutuan tak akan dia tak boleh bagi kerjasama dan jika dia boleh berubah (jaga etika), saya tak ada masalah menyegerakan mesyuarat yang memerlukan kehadirannya,” tambah Saiffudin lagi.

BACA JUGA Sanusi hina institusi kehakiman, menghasut