Awas ‘geng plastik hitam’, lokasi kaki ponteng puasa sudah dikenal pasti

Ramadan pastinya bulan yang ‘mendukacitakan’ buat ‘geng plastik hitam’ atau kaki ponteng puasa untuk makan pada waktu siang.

Namun, di Melaka, lebih 10 lokasi tumpuan golongan yang mengingkari suruhan Allah itu sepanjang Ramadan dikenal pasti di sekitar negeri itu.

Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri Datuk Rahmad Mariman berkata, pemantauan dan pemeriksaan lebih ketat serta berkala akan dilaksanakan sepanjang Ramadan.

Menurutnya, langkah penguatkuasaan itu bermula awal pagi sehingga tengah hari terutamanya di lokasi tumpuan kaki ponteng puasa menerusi Op Cegah Jenayah Syariah.

“Penguatkuasaan ini dilaksanakan di bawah Seksyen 49 Enakmen Kesalahan Syariah Negeri Melaka 1991 kerana menjual makanan dan makan dalam bulan Ramadan.

“Menerusi operasi berkenaan, umat Islam didapati tidak berpuasa dan makan di tempat awam akan ditangkap anggota penguat kuasa JAIM, manakala peniaga yang menjual makanan kepada golongan itu juga akan diambil tindakan,” dipetik BH.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Pelancaran Program Ihya Ramadan Peringkat Melaka 2024 yang disempurnakan Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Ab Rauf Yusoh.

Dalam masa sama, Rahmad berkata orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan aktiviti atau lokasi “geng plastik hitam” boleh menyalurkannya kepada pihak Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) agar tindakan penguatkuasaan dapat dilakukan.

Pada Ramadan tahun lalu katanya, sebanyak 96 kaki ponteng puasa ditahan sepanjang pelaksanaan Op Cegah Jenayah Syariah berbanding 41 orang dalam tempoh sama pada 2022.

BACA JUGA Berpuasalah dari pembohongan dan fitnah