Berpuasalah dari pembohongan dan fitnah
Oleh SENATOR DATUK SERI DR MUJAHID YUSOF RAWA
Sebahagian besar perintah Allah terdapat maqasid dan hikmahnya tersendiri yang mudah difahami oleh manusia.
Allah menjelaskan secara terperinci kenapa sesuatu syariat itu diperintahkan. Puasa adalah antara hikmah yang banyak disebut dalam Al Quran mahupun hadith tentang maqasid dan hikmahnya.
Maqasid utama puasa adalah untuk mencapai penghayatan TAQWA yang merupakan mercutanda dalam kehidupan manusia.
Allah berfirman dihujung ayat (al Baqarah 183) tentang kewajiban berpuasa dengan menegaskan tujuannya sebagai “لعلكم تتقون” iatu “semoga kalian memperolehi ketaqwaan” Saya seru kepada semua agar kita berusaha menghayati segala ciri dan sifat TAQWA semasa berpuasa di bulan Ramadhan.
Perincian dari TAQWA itu dihuraikan melalui hadith pelbagai.
Antaranya ialah mengelak dari melakukan perkara sia-sia semasa berpuasa yang tidak membawa apa-apa kebaikan dalam hidup seperti:
1) bercakap perkara palsu/fitnah
2) suka menyebarkannya
3) kekal dalam kejahilan.
Ketiga-tiga perkara ini mensia-siakan puasa kita sepertimana dalam hadith;
“من لم يدع قول الزور و العمل به والجهل فليس لله حاجة ان يدع طعامه و شرابه”
“Barang sesiapa yang tidak meninggalkan kata-kata palsu bahkan berterusan melakukannya dan berada dalam kejahilan berterusan maka Allah tidak mempedulikan orang itu (tidak memperkenankan kepadanya pahala) walaupun dia meninggalkan makan minumnya (untuk mendapat pahala berpuasa)” (Hadis Bukhari, Riwayat Abi Hurairah)
Kepada mereka yang diuji dengan kata-kata nista, dimaki dan dihamun pada masa ia berpuasa, maka Islam memerintahkan kepada kita untuk tidak membalas dengan perbuatan yang sama.
Malah hendaklah dia bersabar sambil berdoa:
Ya Allah sesungguhnya hamba-Mu ini sedang berpuasa (tahankan diriku dari membalasnya)” Demikianlah betapa kemuliaan puasa itu bertujuan supaya kata-kata kita, akhlaq kita dan kesabaran kita benar-benar dipelihara melalui kekebalan TAQWA.
Oleh itu, saya menyeru Ramadhan tahun ini agar kita bukan sahaja berpuasa dari makan minum tetapi berpuasa dari fitnah, pembohongan dan bersikap jahil berterusan.
Kita berpuasa dari mencetuskan kebencian dan permusuhan dan dengan demikian kita menghayati makna TAQWA sebenarnya.
Semoga penghayatan TAQWA kita bawa keluar bersama dengan berakhirnya Ramadhan dan kita jadikan ia budaya hidup baru kita.
Selamat Menyambut Bulan Ramadhan, Ramadhan Kareem!
*SENATOR DATUK SERI DR MUJAHID YUSOF RAWA merupakan Timbalan Presiden Parti AMANAH dan Pengerusi Pakatan Harapan Perak.
BACA JUGA Umat Islam mula berpuasa 12 Mac ini