Kenapa Suhaizan cadang jual arak guna mesin layan diri di kedai serbaneka?

Ahli Parlimen Pulai Suhaizan Kaiat tampil menjelaskan cadangannya supaya kedai serbaneka menggunakan mesin layan diri untuk menjual minuman keras.

Wakil rakyat AMANAH itu berkata, saranan itu bersandarkan hadis Rasulullah SAW berkenaan 10 golongan yang dilaknat kerana arak.

“Kita boleh mengelak juruwang menjual minuman keras secara terus kepada pelanggan.

“Hadis Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh Tarmizi, maksudnya, “Rasulullah melaknat 10 golongan iaitu pemerah anggur yang digunakan untuk membuat arak, meminta diperahkan arak untuknya…

“… peminum arak, pembawa arak, meminta dibawakan arak kepadanya, memberi minum arak kepada orang lain, penjual arak, orang yang mendapat hasil daripada arak, orang yang membeli arak dan orang yang meminta dibelikan arak untuknya.

“Maknanya, semua rantaian arak itu adalah sesuatu yang dilaknat oleh Allah SWT.

“Tak kiralah dia menjual, mengedar, menyerah dan sebagainya. Itu semua perkara yang dilaknat oleh Allah,” jelasnya menerusi TikTok.

Sehubungan itu, beliau berkata, kerajaan mempunyai ruang di peringkat pihak berkuasa tempatan (PBT) dan sebagainya yang boleh dipandu oleh majlis dan jabatan agama Islam.

“Ini supaya jadi peraturan di peringkat PBT yang membolehkan juruwang ini mengelak daripada memberi atau menyerahkan belian dalam bentuk minuman keras kepada pelanggan,” ujarnya lagi.