Malaysia negara kelima paling bahagia di dunia

Malaysia telah dinamakan negara kelima paling bahagia di dunia, menurut laporan ‘Mental State of the World’.

Laporan yang dikemukakan Projek Minda Global itu berdasarkan tinjauan melibatkan lebih 400,000 individu di 71 negara.

Menurut laporan organisasi penyelidikan neurosains, Sapien Labs, Malaysia ditangga kelima dengan mencatatkan 85 peratus.

Kedudukan itu adalah peningkatan sebanyak 2.9 peratus berbanding 2022 manakala Republik Dominican menduduki tempat teratas.

Kajian menggunakan Mental Health Quotient (MHQ) itu menilai pelbagai aspek kesihatan mental peserta dikategorikan berdasarkan markah mereka, daripada ‘berkembang maju’ hingga ‘tertekan’.

Berikut ialah senarai lima negara paling bahagia di dunia:

  1. Republik Dominican
  2. Sri Lanka
  3. Tanzania
  4. Panama
  5. Malaysia

Negara paling tidak bahagia:

  1. Uzbekistan
  2. United Kingdom
  3. Afrika Selatan
  4. Brazil
  5. Tajikistan

Laporan itu juga mendapati bahawa kesejahteraan mental kekal pada tahap rendah selepas pandemik Covid-19.

“Pada 2023, di peringkat global dan di peringkat negara, markah MHQ sebahagian besarnya kekal tidak berubah berbanding 2021 dan 2022, selepas penurunan mendadak semasa tahun-tahun pandemik,” kata laporan itu.

Sapien Labs berpendapat timbul persoalan penting tentang impak wabak Covid-19 yang berkekalan selain perubahan dalam cara hidup dan bekerja.

Ia termasuklah kerja jarak jauh, komunikasi dalam talian, penggunaan makanan ultra-proses, penggunaan plastik sekali pakai telah secara kumulatif mendorong manusia ke ruang kesejahteraan mental yang lebih miskin.

Organisasi itu turut merumuskan bahawa generasi muda, terutamanya berusia di bawah 35 tahun mengalami kemerosotan paling teruk dalam kesejahteraan mental semasa wabak Covid-19.

Sebaliknya, kata Sapien Labs, individu yang berumur lebih 65 tahun kekal stabil.

“Dengan kemerosotan ini berterusan merentas semua kumpulan umur, wabak itu meningkatkan trend kesejahteraan mental yang lebih lemah yang sedia ada untuk generasi muda yang kini boleh dilihat di seluruh dunia.

“Seperti tahun-tahun sebelumnya, beberapa negara Afrika dan Amerika Latin mendahului kedudukan negara itu, manakala negara yang lebih kaya di Teras Anglosphere seperti United Kingdom dan Australia berada di bawah.

“Corak ini menunjukkan bahawa kekayaan yang lebih besar dan pembangunan ekonomi tidak semestinya membawa kepada kesejahteraan mental yang lebih besar,” menurut laporan itu lagi.

Sehubungan itu, Sapien Labs berkata, analisis laporan itu memberi gambaran yang membimbangkan tentang prospek pasca-pandemik.

BACA JUGA Ini cerita daerah paling bahagia di Negeri Sembilan