Menjelang Ramadan: Ruhainies nafi kena ‘tangkap basah’

Menjelang Ramadan, pelakon Ruhainies menafikan dia kena ‘tangkap basah’ dengan aktor Aliff Aziz seperti heboh diperkatakan ramai.

Menerusi entri dalam Instagram Story (IGs), Ruhainies menegaskan, kontroversi mengaitkan dirinya bersama Aliff sejak kelmarin bukan disebabkan isu ‘tangkap basah’.

Aktres berusia 32 tahun itu kesal terdapat laporan daripada portal media tempatan yang menggunakan tajuk, ‘Masih Tiada Penjelasan Lanjut, Ruhainies Perlu Masa Untuk Selesaikan Isu Tangkap Basah’.

Sehubungan itu, pelakon drama ‘Terjerat’ tersebut berharap semua pihak tidak mengeluarkan sebarang kenyataan mengelirukan.

“Ingin saya perbetulkan di sini, hati-hati dengan penulisan tajuk atau isi di dalam ‘content’ supaya tidak menimbulkan spekulasi lebih buruk yang mengelirukan dan mengeruhkan keadaan.

“Ia sama sekali ‘bukan tangkap basah’. Sehingga kini, saya masih belum berikan apa-apa kenyataan.

“Dan segala apa yang dikeluarkan dalam media bukanlah kenyataan daripada saya dan tidak tepat,” tulis pemilik nama Nur Ruhainies Farehah Zainul Ilyas itu.

Dalam masa sama, Ruhainies berharap tiada lagi artikel yang boleh mengundang provokasi sehingga satu kenyataan rasmi berhubung dakwaan ditangkap khalwat bersama Aliff dikeluarkan.

“Saya mohon media tidak menulis apa-apa yang boleh mengundang provokasi atau fitnah sehingga saya mengeluarkan kenyataan rasmi.

“Saya mohon kerjasama semua pihak supaya lebih berhati-hati dan bertanggungjawab,” tambahnya lagi.

Awal pagi 9 Mac lalu, heboh dan sohor kini di media sosial berita artis berstatus suami orang dan pasangannya seorang pelakon wanita dicekup berkhalwat selepas didakwa bersekedudukan.

Tangkapan yang dibuat oleh pihak Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) di sebuah kondominium mewah di ibu negara itu dilapor berpandukan maklumat orang awam.

Kekecohan penangkapan tersebut turut mengheret isteri pelakon berkenaan bersama adiknya ke lokasi kejadian dan pejabat Jawi untuk urusan mengikat jamin.

Media melaporkan Jawi terpaksa menghubungi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) selepas pasangan tanpa ikatan nikah itu enggan membuka pintu unit kondominium mewah tersebut.

Hampir tiga jam pasukan penguat kuasa Jawi berada di depan rumah milik pelakon wanita terbabit.

Dilaporkan, Aliff akhirnya akur selepas bomba mahu memecahkan pintu jika mereka enggan memberikan kerjasama.

Turut dilapor pasukan penguat kuasa Jawi tiba dengan dua van dalam operasi yang bermula kira-kira jam 10.30 malam itu.

Kedua-dua pelakon itu kemudian dibawa ke pejabat Jawi dengan menaiki sebuah kenderaan lain untuk proses selanjutnya.

Mereka berdua juga kemudiannya telah dibebaskan dengan jaminan sementara menunggu tarikh perbicaraan di Mahkamah Syariah dalam masa terdekat.

BACA JUGA Bekas menteri promosi kurma ‘berinti’ mentega