‘Saya dikeji kononnya gagal menamakan calon’ – Abdul Rashid perjelas sebab beralih sokongan

Masalah dalaman dan rasa terpinggir merupakan punca Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Selat Kelang, Datuk Abdul Rashid Asari beralih sokongan kepada kepimpinan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari.

Beliau yang juga pengasas Bersatu Selangor mendakwa, dirinya juga tidak dipedulikan serta tidak relevan kepada parti tersebut.

Katanya, beliau berjaya menubuhkan parti Bersatu Selangor dalam masa yang singkat dengan cabaran pertama adalah berdepan Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) yang menyaksikan Bersatu menang enam kerusi daripada sembilan kerusi dipertandingkan.

“Bagaimanapun, akhir-akhir ini saya tidak lagi dipedulikan dan dipinggirkan daripada Bersatu.

“Saya berkata sedemikian kerana ketika PRU15, satu perjanjian antara Bersatu, Pas dan Gerakan yang mana dalam perjanjian bertulis itu, pihak-pihak bersetuju untuk agihan kerusi Parlimen Selangor dengan kerusi Kapar dipersetujui untuk agihkan kepada Bersatu.

”Bagaimanapun, ketika mesyuarat akhir penentuan pengagihan kerusi-kerusi Parlimen Selangor, kerusi Parlimen Kapar telah diambil oleh Pas tanpa mengendahkan perjanjian yang telah dibuat sebelum ini, disebabkan adanya percaturan politik yang tidak sepatutnya dilakukan.

“Dalam mesyuarat berkenaan, tiada sesiapa pun yang pedulikan hujah-hujah saya dan mereka mengambil keputusan drastik tanpa memikirkan Bersatu sepatutnya diberikan peluang bertanding di Parlimen Kapar,” katanya dipetik BH.

Dalam perkembangan sama, Abdul Rashid berkata, pada Pilihan Raya Negeri ke-15 (PRN15), banyak nama Ketua Bahagian, Timbalan Ketua Bahagian dan beberapa nama yang beliau cadangkan telah ditolak kepimpinan tertinggi Bersatu dengan alasan tidak masuk akal.

Menurut Abdul Rashid, beliau mengusulkan nama tersebut selepas diminta Presiden Bersatu, Tan Sri Mahiaddin Yassin.

“Berikutan penolakan itu, saya dihina dan dikeji kononnya saya gagal untuk menamakan mereka sebagai calon dan akhir sekali saya dipecat daripada jawatan Pengerusi Badan Pimpinan Bersatu Selangor.

“Saya mengambil keputusan drastik ini kerana merasakan diri tidak lagi diperlukan oleh Bersatu. Saya memohon maaf kepada penduduk dan pengundi saya atas tindakan saya ini.

“Saya juga memohon maaf kepada Presiden, dan terima kasih kerana beliau memilih saya sebagai Pengerusi dan Pengasas Bersatu Selangor,” ujar beliau lagi.

Pada 6 Mac lalu, Abdul Rashid membuat keputusan beralih sokongan selepas meneliti perkembangan semasa dan mengambil kira beberapa faktor utama.

Menurut beliau, keputusan itu dibuat dengan rela hati tanpa sebarang paksaan setelah meneliti Titah Ucapan Sultan Selangor yang memuji pentadbiran Kerajaan Selangor berada di landasan tepat, demi kemajuan negeri dan kesejahteraan rakyat.

BACA JUGA Dua lagi ADUN Bersatu ikut langkah Rashid Asari?