100 syarikat teknologi disasar raih RM1 bilion setahun

Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) menyasarkan Malaysia mempunyai sebanyak 100 syarikat teknologi tempatan dengan perolehan hasil tahunan mencecah RM1 bilion menjelang 2030.

Timbalan Menteri, Liew Chin Tong, berkata ini sejajar dengan usaha kerajaan yang sentiasa menyokong syarikat tempatan melalui penyelidikan dan pembangunan (R&D) dan inovasi dengan memberi bantuan kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) di serata negara.

“MITI dan agensi-agensi di bawahnya turut menyediakan pelbagai bantuan seperti bantuan pembiayaan, khidmat nasihat dan panduan perniagaan bagi meningkatkan rantaian nilai PKS,” katanya, lapor Bernama.

Beliau berkata demikian ketika menggulung usul Menjunjung Kasih Titah Diraja bagi kementerian itu di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau turut menjawab pertanyaan Datuk Seri Amirudin Shari (PH-Gombak) mengenai usaha mengukuhkan kerjasama antara negeri-negeri dan wilayah serta meningkatkan akses pasaran, terutama PKS dengan membangunkan sistem inovasi nasional.

Pada masa sama, Chin Tong berkata MITI menerusi Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) sedang menerajui usaha meningkatkan hubungan kerjasama Selangor, Kuala Lumpur, Melaka dan Negeri Sembilan bagi membangunkan kluster industri bersama, termasuk aeroangkasa dan Hab Perkhidmatan Global.

Menjawab soalan Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal (PN-Machang) mengenai hala tuju MITI dalam meningkatkan pelaburan strategik pada 2024, beliau berkata ini termasuk memastikan pelaburan masuk menepati 12 indikator yang ditetapkan.

Menurutnya, ini berasaskan hasil yang akan diguna pakai untuk mengukur kualiti pelaburan di bawah Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030) dan Aspirasi Pelaburan Naional (NIA).

“Antara indikator itu termasuk meningkatkan usaha bagi aktiviti dengan nilai tambah tinggi; mempercepat pembangunan aktiviti penyelidikan dan pembangunan serantau; mencipta peluang pekerjaan berkemahiran tinggi serta meningkatkan paras gaji pekerja terutama dalam industri pembuatan,” katanya.