‘Dalam Dewan Rakyat, fikirkan ucapan yang boleh membina negara’

Mana-mana pihak daripada sebarang parti politik di negara ini diharapkan agar sentiasa melatih diri mereka dengan sikap keterbukaan.

Yang DiPertua (YDP) Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM), Datuk Hasanuddin Mohd Yunus menyifatkan, kebenaran perlu diletakkan lebih tinggi berbanding dengan kepentingan parti politik.

”Kecuali jika anda sedang berkempen di luar sana, itu sememangnya tempoh dan kuasa yang diberikan kepada ahli politik ketika berkempen.

”Tetapi apabila kita sedang bernegara iaitu dalam sidang Parlimen, fikirkan ucapan-ucapan yang boleh membina negara dan pada masa sama membantu jemaah menteri menjalankan tugas mereka.

”Ucapan-ucapan membina itu diucapkan agar barisan menteri mendapat idea baharu daripada pihak pembangkang dan apabila pembangkang memberi idea yang baik, maka negara kita juga akan jadi baik,” katanya dalam program Ruang Bicara, Bernama TV, malam tadi.

Program yang dihoskan oleh Sherkawi Jirim itu membawa tajuk ‘Merungkai Isu Ancaman Pemikiran Neo-Khawarij dan Takfiri’.

Dalam rancangan selama satu jam itu, bekas Ahli Parlimen Hulu Langat itu turut mengingatkan kepada semua agar mengawal diri apabila mempunyai pandangan yang berbeza.

”Kawal juga diri kita apabila kita memberikan sebarang idea dan kawal diri supaya kita juga boleh menghargai orang lain. Kita sangat mengharapkan mereka (ahli politik) ini semakin matang.

”Seperti mana titah Yang di-Pertuan Agong (YDPA) ke-17, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar dan Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang sentiasa memberikan nasihat dan teguran supaya menerapkan nilai perpaduan dan membina negara,” ujar beliau lagi.

BACA JUGA 6 sifat Khawarij

Â