Isu kantin sekolah: Fatwa atau propaganda Pas?

Memang aneh bila melakukan sesuatu kebaikan dikecam tetapi yang suka mencaci, memfitnah dan kalah saman malu disanjung. Namun, itulah realiti yang dilihat pada hari ini. Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, dikritik oleh Ketua Dewan Ulama PAS Datuk Ahmad Yahaya (PN-Pas) kerana mengeluarkan arahan agar kantin dibuka Ramadhan ini untuk membolehkan pelajar bukan Islam makan. Tindakan Fadhlina dikatakan “keterlaluan” dan sengaja “mencetuskan polemik”.

Namun, selain Ketua Dewan Ulama PAS, tiada pula ada mana-mana mufti atau cendiakawan Islam yang menegur atau mengkritik Fadhlina. Arahan pentadbiran yang mudah ini hanya menjadi polemik bila Ketua Dewan Ulama PAS menjadikannya polemik.

Arahan Fadhlina ini mempunyai latarbelakang dari masa lalu. Sebelum ini ada sekolah yang tidak membuka kantin pada bulan Ramadhan. Malahan, ada beberapa peristiwa di mana pelajar-pelajar bukan Islam terpaksa memakan bekalan yang mereka bawa di tandas dan di bawah tangga. Adakah ini tidak keterlaluan?

Allah s.w.t. menyuruh umat Islam berpuasa. Tidak ada hadith atau ayat Al Quran yang menyuruh ummat Islam menegahkan orang bukan Islam dari memakan. Memaksa pelajar-pelajar bukan Islam memakan dalam keadaan yang tidak bersih dan tidak selesa bukanlah cara untuk membuatkan mereka menghormati ibadah puasa orang Islam.

Bagaimanakah mereka hendak menghormati Islam jika hak mereka dinafikan? Barangkali Ketua Dewan Ulama PAS tidak memahami bahawa sikap saling menghormati bukanlah suatu yang boleh paksakan.

Ibn Ishaq ada menyebut bahawa pada satu ketika satu rombongan orang Kristian dari Najran telah datang ke Masjid Nabi di Madinah. Tujuan mereka ialah untuk mengajak Rasulullah s.a.w. kepada ajaran Kristian. Maka dianjurkan satu majlis mubalahah atau perbahasan dalam Masjid Nabi.

Bila datang waktu petang, rombongan dari Najran ini telah melakukan sembahyang secara Kristian dalam Masjid Nabi. Ada di kalangan para sahabah yang tidak senang dengan tindakan ini. Namun, Rasulullah s.a.w. melarang mereka daripada menegah orang-orang Kristian Najran dari melakukan sembahyang mereka dalam masjid baginda.

Mungkin ada yang akan berpandangan membenarkan orang Kristian sembahyang dalam masjid sebagai suatu yang luarbiasa. Malahan, ia lebih luarbiasa daripada membenarkan orang bukan Islam makan pada bulan puasa. Namun, adakah tindakan Rasulullah s.a.w. itu harus dikecam sebagai “keterlaluan” atau “mencetuskan polemik”? Adakah ia “tidak sensitif” serta “tidak menghormati” Islam?

Kita menjangkakan bila golongan yang menggelarkan diri mereka ulama memberi pandangan, ia akan berasakan dalil dari Al Quran dan hadith. Kita menjangkakan pandangan yang diberikan ulama bukanlah sama taraf dengan perbualan kosong di kedai kopi sahaja. Dan kita berhak menjangkakan pandangan yang diutarakan di atas nama Islam bukanlah sekadar pandangan peribadi yang didorongi prejudis, kecetekan intelek dan sebagai propaganda politik sahaja. 

Status ulama mana-mana golongan bukanlah pada riak mereka menggelar diri mereka ulama. Seseorang akan dihormati sebagai alim kerana ilmu dan akhlaqnya. Jika kelibat ilmu tidak kelihatan pada tutur-kata serta hujjah mereka dan akhlaq mereka ketika berbicara hanya menunjukkan kebengisan, di manakah sifat ulama pada mereka?

Tidak lama dahulu, seorang pemimpin PAS Selangor telah menyeru agar golongan bukan Islam tidak melihat PAS menurut lensa pandangan DAP. Andaiannya ialah DAPlah yang menyebabkan orang bukan Islam takut pada PAS. Eloklah pemimpin ini sedari bahawa tutur-kata dan tindak-tanduk sebegini “ulama” PAS sendiri yang membuatkan orang bukan Islam tidak senang dengan PAS.

Teruskanlah YB Fadhlina menjadi pemimpin yang adil dan menjiwai ajaran Islam seperti yang ditunjuk Rasulullah s.a.w. Usah ambil endah golongan propagandis yang sengaja mencetuskan polemik untuk agenda politik sempit mereka.

ROZHAN OTHMAN ialah pengasas Human Capient Consulting Sdn Bhd dan Felo Kanan LeadUS Centre.

BACA JUGA: Menewaskan Israel di Gaza: Sokongan simbolik ke substantif