‘Jangan buat fitnah di bulan Ramadan’ – MB Negeri Sembilan

“Jangan buat fitnah di bulan Ramadan. Baru dua hari berpuasa sudah buat fitnah kepada saya.

Itu kata-kata daripada Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun susulan kontroversi melanda bekas kapten Harimau Malaya, Zaquan Adha Abdul Radzak yang ditamatkan kontrak mewakili negeri berkenaan.

Semalam, pemain yang menabur bakti hampir dua dekat di arena bola sepak tanah air itu menitiskan air mata apabila mengumumkan bersara selepas kontraknya bersama Negeri Sembilan tidak disambung.

Menerusi rakaman yang dimuat naik era.je, bintang bola sepak profesional berusia 37 tahun itu dilihat menangis dan menyifatkan ia bukanlah pengakhiran yang diidamkan.

Berikutan kontroversi itu, Aminuddin menafikan bahawa beliau terlibat dalam campur tangan urusan penentuan kontrak pemain Kelab Bola Sepak Negeri Sembilan (NSFC) termasuk membuat keputusan terhadap Zaquan.

Beliau menegaskan, tiada bukti mengaitkan dirinya terlibat dalam urusan kontrak pemain, ditambah pula pasukan NSFC kini di bawah pentadbiran dan pengurusan baharu.

”Cakap kepada dia, apa bukti saya campur tangan dalam urusan bola sepak pemain?

”Saya harap dengan adanya pengurusan baharu, pentadbiran baharu dan Exco baharu, ia akan berjalan dengan baik dan teratur selepas ini,” katanya dipetik Sinar Harian.

Aminuddin yang juga Ahli Parlimen Port Dickson berkata demikian sebagai mengulas penamatan kontrak Zaquan yang didakwa mempunyai kaitan dengan dirinya.

Menurut Aminuddin lagi, sebagai Menteri Besar di negeri itu, beliau sememangnya mengharapkan segala sumber kewangan yang diterima NSFC dapat dibelanjakan dengan betul, sekali gus bagi meningkatkan mutu permainan bola sepak negeri.

Sebelum ini menerusi temu bual bersama Astro Arena, Zaquan meluahkan kecewa dengan cara penamatan kontraknya bersama pasukan negeri, memandangkan dia hanya diutuskan sekeping surat.

“Malam Ramadan pertama, saya hanya menerima sekeping surat, kontrak saya tidak disambung.

“Saya reda, mungkin rezeki saya sampai di sini. Apabila sudah di penghujung baru dapat surat, perancangan saya jadi terjejas. Kerana mana lagi pasukan saya mahu pergi, saya mahu cari?

“Saya rasa, saya terima dengan hati terbuka bahawa rezeki saya setakat di sini bersama dengan NSFC,” katanya yang juga anak jati Negeri Sembilan.

BACA JUGA ‘Saya tak dengar pula jika ada ‘Langkah Seremban’ – Aminuddin