Pemuda AMANAH saran laksana semula projek Bus Rapid Transit

Pemuda AMANAH Nasional mencadangkan agar projek Bus Rapid Transit (BRT) dihidupkan semula dengan beberapa ciri penambahbaikan.

Naib Ketua Pemuda AMANAH Nasional, Ammar Atan menyifatkan sistem BRT iaitu laluan khas bas di paras jalanan atau menggunakan jejambat, adalah lebih afdal berbanding pembinaan lebuhraya baharu untuk mengurangkan kesesakan jalan raya.

Beliau berkata, pihaknya mencadangkan agar Malaysia mengadaptasi sistem seperti ‘TransJakarta BRT’ yang menyambut ulang tahun ke-20 tahun ini.

”Dengan jarak melebihi 250 kilometer (km), rangkaian BRT Indonesia adalah terpanjang di dunia dan kami percaya ia mampu memberikan inspirasi kepada pembinaan BRT di negara kita.

”Sistem BRT ‘tertutup’ di Bandar Sunway juga boleh menjadi panduan bagaimana mengimplementasikan sistem BRT secara meluas,” katanya menerusi satu kenyataan, hari ini.

Ammar berkata secara umumnya, sistem BRT adalah lebih murah dan lebih mudah dibina berbanding sistem tren MRT dan LRT yang melibatkan teknologi yang lebih kompleks.

Sebagai contoh beliau berkata, ketika projek BRT Klang-KL diumumkan dahulu, kosnya dianggarkan sekitar RM2 bilion untuk jarak 34 km.

”Walaupun kos itu pastinya telah meningkat, kita mesti mengambil kira kos pembinaan mod pengangkutan lain.

”Contohnya, dalam Belanjawan 2024, kos membina lima stesen LRT3 sahaja dianggarkan mencecah RM4.7 bilion.

”Kerajaan sudah mempunyai hasil kajian mengenai projek BRT ini malah sejak 2009, kerajaan telah mengenal pasti 12 kawasan sekitar Lembah Klang di mana BRT adalah mustahak.

”Ketika itu, 12 projek ini jaraknya 215 km iaitu hampir sama dengan projek TransJakarta BRT. Jadi, kami berharap hasil kajian ini dapat ditambah baik dan projek-projek ini dapat dihidupkan kembali,” katanya lagi.

Dalam kenyataan sama, beliau turut mengutarakan tentang sistem BRT itu tidak seharusnya dimonopoli satu pihak pengendali sahaja seperti Prasarana yang dimiliki sepenuhnya oleh kerajaan.

Katanya, BRT seharusnya mengintegrasi bas-bas Prasarana dan pengendali bas swasta di bawah satu sistem yang sama.

”Sistem ‘unified’ ini, misalnya menerusi aplikasi telefon, dapat mengkoordinasi masa, laluan dan pemandu bas secara holistik untuk mencapai ‘user experience’ yang optimum.

”Sejajar pengintegrasian ini, bas-bas BRT juga dicadangkan ditukar kepada bas elektrik secara berfasa.

”Tambahan lagi, rangkaian BRT ini harus bersambung dengan sistem-sistem lain seperti LRT, MRT dan KTM untuk memastikan pengguna dapat menukar laluan secara sistematik,” ujar beliau lagi.

Menurut Ammar, dengan kewujudan ‘seamless connections’ itu, Pemuda AMANAH berharap kadar tambang juga dapat diselarikan seperti satu pas atau tiket penumpang, akan dapat digunakan untuk semua mod pengangkutan.

”Jika pelaksanaan ini berjaya di Lembah Klang, konsep BRT boleh diperluaskan pelaksanaannya di bandar-bandar di luar Lembah Klang dan Selangor untuk jangka masa panjang.

”Pemuda AMANAH yakin bahawa dengan pemantapan sistem pengangkutan awam, ia dapat mengurangkan bilangan kenderaan di jalan raya dan menarik minat anak muda untuk menggunakan pengangkutan awam,” katanya.

BACA JUGA Ini sebabnya menteri seru naik taraf kemudahan di stesen ERL