Propaganda gelombang hijau tidak relevan, ini sebenarnya formula terbaik untuk politik Malaysia

Oleh LIYANA MARZUKI

Salah satu propaganda yang orang kita dipajak otak sekian lama ialah Melayu itu Bumiputera dan Bumiputera itu Melayu.

Ada pemimpin politik dinosaur dengan helah mereka selalu tanamkan di minda kita. Bumiputera itu Melayu semuanya. Orang Bajau, Melanau, Iban, Bidayuh, Kadazan, Murut dan Dusun itu mereka kata semuanya Melayu. Supaya bilangan kita nampak gah di situ. Walhal, itu tidak sepatutnya berlaku.

Manipulasi lagi dengan takrifan Melayu dalam Perlembagaan. Mereka kata asal cakap Melayu, beragama Islam dan amalkan budaya Melayu dah cukup syarat jadi Melayu. Walhal, syarat asal usul mesti keturunan Melayu mereka enggan bagitau.

Faktanya, Melayu Islam hanya 58 peratus di Malaysia. Masih penduduk majoriti. Tapi tidaklah besar mana.

Kalau campur dengan etnik Sabah dan Sarawak, jadilah Bumiputera 70 peratus. Itupun kena tahu bukan semuanya Islam. Ada kalangan Bumiputera Kristian juga.

Makanya tidak bolehlah dikata 70 peratus Bumiputera itu semua Melayu Islam belaka.

Kita kena terima hakikat sebenar fabrik sosial negara sudah diganggu sekian lama oleh penjajah.

Itu sebab gelombang hijau buat Kerajaan Melayu Islam sudah tepu. Mereka hanya boleh mara di negeri-negeri utara dan pantai timur kerana peratusan Melayu tinggi di sana.

Namun, di negeri-negeri selatan dan timur barat, susah orang nak terima memandangkan pelbagai bangsa ada di dalamnya.

Negeri Malaysia Timur usah cerita. Politik Ketuanan Melayu langsung tidak diterima. Itu negeri mereka. Mereka majoriti punya lama. Siapa kita nak kata kita jadi tuan pula?

Makanya, formula terbaik untuk politik Malaysia ialah berkongsi kuasa. Formula Kerajaan Melayu Islam semata-mata, pada saya bukan representasi sebenar rakyat Malaysia.

Kita perlu berlapang dada. Malaysia ini sudah jadi negara berbilang bangsa.

Pada masa yang sama, kalau ada minoriti yang rasa dia boleh kawal majoriti pun kita TOLAK.

Berkongsi kuasa bukan bermakna jadi hamba. Kalau Amerika dan UK beratus tahun boleh tunggu, Malaysia lagikan pula.

Selagi jurang sosio ekonomi melebar antara kaum, biarlah penduduk majoriti pegang tampuk nombor satu negara. Boleh berkongsi kuasa dalam kerajaan berbilang bangsa. Sama-samalah bina negara.

Â