Smart SBB Sekinchan tunjuk laluan cemerlang untuk berjaya

Amalan Smart Sawah Padi Berskala Besar (Smart SBB) Ala Sekinchan bagi meningkatkan pengeluaran padi di Bendang Tok Ajam, Pasir Puteh, Kelantan menunjukkan perkembangan yang positif untuk berjaya.

Pengerusi Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (Kada), Muhammad Husain berkata, rata-rata petani teruja melihat anak pokok padi tumbuh dengan sihat dan segar.

“Hari ini merupakan hari ke-45 tanaman padi ala Sekinchan yang telah diadakan di Kampung Tok Ajam Pasir Puteh seluas 200 ekar.

“Saya sekali lagi berkesempatan ke bendang padi ini bagi meninjau keadaan padi dan diberi taklimat oleh pasukan Sekinchan diketuai oleh Encik Allen Lim.

“Taklimat mengenai kualiti pokok padi, mengenalpasti serangan penyakit pada batang pokok padi, racun dan baja yang sesuai digunakan dan banyak lagi,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.

Untuk rekod, projek Smart SBB di Pasir Puteh di bawah seliaan Kada menyaksikan pengenalan kaedah penanaman yang menggunakan mesin Rice Transplanter atau ‘mencedung’dalam panggilan di Kelantan.

Kaedah penanaman itu menjimatkan masa biarpun teknologi baharu berkenaan memerlukan kos agak tinggi berbanding tabur terus.

Dalam masa sama, Muhammad turut memberitahu beliau sempat bertegur sapa dengan beberapa petani yang mengusahakan bendang di Tok Ajam.

“Saya menyaksikan kegigihan petani dan kesediaan mereka untuk belajar perkara baharu berkenaan kaedah penanaman yang telah terbukti dapat meningkatkan hasil padi.

“Di bulan puasa dan cuaca panas terik amat menguji kesabaran para petani.

“Saya salute, dan salah satu kata kata yang menyentuh hati nurani saya apabila seorang petani ditanyakan kepada anaknya kenapa masih mengusahakan padi sedangkan usia dah lebih 75 tahun, beliau menjawab dengan yakin ‘ayah buat padi bukan untuk ayah jah, tapi ayah buat padi ni untuk beri makan Orang lain, orang Sabah, Sarawak, orang bangsa lain, itu jihad ayah’.

“Alhamdulillah, jika mentaliti ini ada pada semua petani, insyaAllah isu tidak cukup padi dan beras akan selesai tidak lama lagi.

“Marilah kita sama-sama berdoa agar usaha ini terus diberkati oleh Allah. Ameen,” tulis Muhammad lagi yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Negeri Kelantan.