Ini senarai 10 Bandar Paling Bahagia di Malaysia

Cameron Highlands menduduki tangga pertama bandar paling bahagia mengikut Indeks Kebahagiaan Malaysia 2024.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming, berkata kesejahteraan rakyat negara ini terpelihara melalui perkhidmatan yang diberikan oleh pihak berkuasa tempatan (PBT) dan kemudahan yang menyumbang kepada persekitaran kehidupan selesa serta kondusif.

Menurutnya, bagi pengukuran Indeks Kebahagiaan pada 2024, Jabatan Perancangan Bandar dan Desa (PLANMalaysia) bersama 144 PBT membuat kaji selidik dalam kalangan penduduk.

Kaji selidik itu mendapati 71 peratus telah mencapai tahap bahagia, manakala 29 peratus mencapai tahap sederhana bahagia.

Di Malaysia, Hari Kebahagiaan Sedunia Peringkat Kebangsaan telah mula disambut secara rasmi sejak 2015.

Kor Ming berkata keharmonian, keamanan dan masyarakat berbilang kaum adalah kunci kejayaan negara, justeru penting bagi masyarakat mengamalkan prinsip MADANI yang mengetengahkan sikap saling hormat-menghormati dan ihsan.

Menurutnya Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) akan terus mempergiatkan inisiatif yang mengutamakan kesejahteraan rakyat seperti menyediakan Rumah Mampu Milik (RMM) komprehensif dan berdaya saing serta meningkatkan Program Penyelenggaraan Perumahan Berstrata.

Inisiatif lain termasuk melaksanakan Penarafan Bandar Pintar Malaysia, Operasi Pembasmian Berterusan Tapak Pelupusan Sampah Haram, Blueprint Ekonomi Kitaran, menambah baik Penyampaian Perkhidmatan One Stop Centre (OSC) 3.0 Plus di PBT dan membina 100 Taman Rekreasi Awam MADANI di seluruh negara.

Kor Ming berkata KPKT melalui PLANMalaysia juga akan terus komited untuk melaksanakan dan merealisasikan perancangan bandar dan desa yang seimbang, terangkum dan saksama.

Ini senarai 10 Bandar Paling Bahagia di Malaysia bagi Tahun 2024:

  1. Cameron Highlands, Pahang
  2. Bandar Jeli, Kelantan
  3. Bandar Jerantut, Pahang
  4. Bandaraya Kuala Terengganu, Terengganu
  5. Bandar Kulai, Johor
  6. Bandar Lenggong, Perak
  7. Bandaraya Melaka Bersejarah, Melaka
  8. Bandaraya Petaling Jaya, Selangor
  9. Bandar Port Dickson, Negeri Sembilan
  10. Bandar Rompin, Pahang

BACA JUGA Terima kasih bayar hutang, tapi jangan lupa baki RM2 juta – Bekas pencetak Harakah