“Mentang-mentanglah kami orang kampung, naif”, orang Kedah bengang ‘dipermainkan’ isu tanah

Kira-kira 50 Penduduk dari Kampung Darat, Hutan Kampung, di Alor Setar mengharapkan sinar agar kemelut hak milik tanah mereka yang gagal diselesaikan sejak 12 tahun lalu, diselesaikan segera oleh kerajaan negeri Kedah.

Salah seorang penduduk mendakwa, tanah yang dahulunya dibeli oleh datuk mereka sekitar 1920-an melalui satu perjanjian yang disahkan kerajaan negeri kini telah bertukar tangan tanpa disedari, malah didakwa jatuh ke tangan pemilik baharu bukan Melayu.

Maznah Che Don, 61, berkata adalah meragukan bagaimana tapak yang diletak di bawah status Tanah Rezab Melayu boleh ditukar kepada pemilik bukan Melayu sedangkan perbuatan itu dihalang mengikut undang-undang.

“Harapan kami adalah campur tangan kerajaan negeri melalui Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor dan Pengarah Tanah dan Galian Kedah bagi melakukan siasatan bagaimana tapak rumah kami dijual kepada pemilik bukan Melayu.

“Mentang-mentanglah kami orang kampung, tidak belajar tinggi, naif undang-undang, maka sewenangnya kami dipermainkan sehingga satu-satunya tanah yang kami ada kini terlepas kepada orang lain,” katanya memetik Harian Metro.

Maznah berkata, setiap ahli keluarga hanya berharap hak mereka selaku pemilik tapak tanah yang sah dikembalikan kerana percaya terdapat sesuatu yang ‘pelik’ dalam urusan tukar nama hak milik tanah berkenaan.

 “Isu ini mula diketahui pada 2012 apabila salah seorang ahli keluarga mahu membayar hasil tanah di Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Alor Setar, namun dimaklumkan cukai terbabit sudah dibayar individu lain tidak dikenali.

“Pemeriksaan kami kemudian di PTG mendapati nama pemilik tanah sudah berubah daripada nama pemilik asal yang menjual tanah berkenaan datuk kami kepada pemilik baharu bukan Melayu.

“Pada 2014, kami menerima notis pengusiran pertama menyebabkan kes ini terpaksa difailkan peguam di Mahkamah Tinggi Alor Setar, namun selepas perbicaraan kami gagal mendapat kembali hak milik ke atas tanah berkenaan,” katanya.

Sementara itu, seorang lagi penduduk, Abdul Aziz Md Nor, 72, berkata mereka bukan mahu menuntut pampasan atau bayaran, tetapi mahu hak sebagai pemilik tanah yang didiami ahli keluarga lebih 100 tahun dikembalikan.

Katanya, pada umurnya ketika ini, tidak ada tempat lain yang dapat dituju selain rumah yang dibina di atas tanah berkenaan yang menjadi satu-satunya harta yang dimilikinya.

“Kami bukan mahu diberikan pampasan oleh syarikat yang membeli kawasan ini. Ini tanah tempat saya dilahirkan, saya membesar, bersekolah dan sehingga berkeluarga di kampung yang diwarisi daripada ‘tok wan’ kami dahulu.

“Saya cuma harap perkara ini dapat diselesaikan sebelum ‘tutup mata’, kalau kena usir sekalipun saya hendak ke mana? Hanya tapak rumah ini harta yang saya harap dapat diturunkan kepada anak selepas ini,” katanya.

BACA JUGA Kelantangan PMX pertahan Palestin di Jerman tular seluruh dunia

Â