Kerajaan minta Google beri penjelasan data pertukaran ringgit tidak tepat

Kerajaan meminta penjelasan pihak Google berhubung data tidak tepat kadar pertukaran ringgit berbanding AS$1 mencecah RM4.98 yang diterbitkan enjin carian itu semalam.

Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Fahmi Fadzil, berkata Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan dan Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Datuk Abdul Rasheed Ghaffour sudah menghubungi pihak Google mengenai perkara yang bukan kali pertama berlaku itu.

Fahmi yang juga Menteri Komunikasi itu berkata, paparan data tidak tepat yang tular di media sosial itu adalah satu petanda tidak baik yang menimbulkan kegusaran dan salah faham dalam kalangan rakyat Malaysia.

“Kita tahu dan faham Google menjadi salah satu rujukan bagi rakyat Malaysia, maka kita harap penjelasan itu dapat disampaikan juga kepada rakyat,” katanya kepada pemberita pada Program Teh Hijau Kuala Lumpur, di ibu negara hari ini.

Beliau memaklumkan, ketika kerajaan sedang berusaha memacu pertumbuhan semula ekonomi negara dengan keyakinan yang ditunjukkan kepada pelabur, maka perkara asas seperti itu tidak seharusnya berlaku.

“Ia seharusnya tidak berlaku, ia tidak boleh berlaku, dan kita tidak akan benarkan ia berulang,” tegasnya.

Dalam masa sama, beliau turut berterima kasih kepada BNM atas penjelasan pantas yang diberikan berhubung data tidak tepat itu hari ini.

BNM dalam kenyataannya hari ini dengan tegas menolak data tidak tepat mengenai kadar pertukaran AS$/MYR yang diterbitkan oleh Google.

Bank pusat itu menjelaskan pada semalam kadar pertukaran AS$/MYR berada pada 4.7015 pada jam 9 pagi, dan 4.7045 pada jam 5 petang dengan kadar intrahari tinggi sebanyak 4.7075 dalam pasaran antara bank tempatan bagi ringgit, seperti yang diterbitkan dalam laman sesawang BNM.

BNM memaklumkan bahawa ini kali kedua Google menerbitkan data kadar pertukaran AS$/MYR yang tidak tepat tahun ini.

Justeru, BNM sudah menghantar surat peringatan tegas kepada Google semasa salah lapor pertama terjadi pada 6 Februari 2024.